Ismail Sabri dirawat di IJN, pendakwaan masih belum ditetapkan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan akan didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) di Mahkamah Sesyen di sini masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Jumaat.
Setakat ini, media belum dimaklumkan sama ada pendakwaan akan diteruskan di IJN atau ditangguhkan ke tarikh lain.
Sementara itu, peguam Ragunath Kesavan yang mewakili ahli politik itu, ketika dihubungi media mengesahkan anak guamnya akan didakwa pagi ini.
Bagaimanapun beliau berkata, anak guam ditempatkan di hospital berkenaan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, sumber dari Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, pasukan pendakwaan akan hadir ke mahkamah terlebih dahulu sebelum menuju ke IJN.
"Kami akan pergi ke mahkamah, tetapi kemungkinan besar ke IJN," kata sumber.
Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu akan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin pada jam 10 pagi.
Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen di sini melucutkan hak RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri kepada kerajaan Malaysia.
Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah) dan AUD352,850.
Hakim sama memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucutkan hak harta terbabit.
Pada 8 September tahun sama, mahkamah diberitahu, Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita SPRM.
Pada sidang media Mac 2025, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah 'safehouse', berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

