Mayat wanita ditemukan di Sungai Klang, muka hancur dan kulit menggelupas - Polis

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut.
Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut.
A
A
A

SUBANG JAYA – Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemukan di Sungai Klang berhampiran sebuah kilang di USJ 1 di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan pada jam 12.58 tengah hari.

"Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mayat tersebut ditemukan dalam keadaan muka telah hancur, manakala kulit pada bahagian tangan dan kaki telah menggelupas.

"Mayat itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan memakai jaket berwarna kuning serta seluar jeans berwarna cerah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah beg silang yang mengandungi e-KTP (Kartu Tanda Penduduk Elektronik) serta sekeping gambar mangsa.

"Semakan mendapati mayat itu merupakan seorang wanita warganegara Indonesia.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (Sudden Death Report, SDR) selepas pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Balai Polis USJ 8 di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!