RXZ Members 8.0: 11 kemalangan maut direkodkan sepanjang program - Polis

Muhammed Hasbullah
Muhammed Hasbullah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 kemalangan maut direkodkan daripada keseluruhan 46 kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal sepanjang tempoh program RXZ Members 8.0.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, statistik itu direkodkan sepanjang tempoh empat hari bermula dari 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Konvoi ke RXZ Members 8.0 berakhir tragedi, seorang penunggang motosikal maut

Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut di LPT1

Lelaki Singapura ditahan tunggang RXZ secara berbahaya di LPT2

Tak sempat sampai, dua motosikal terbakar dalam perjalanan ke program RXZ Members

Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut rempuh pacuan empat roda berhenti bantu rakan konvoi

"Selain 11 kemalangan maut, sebanyak lima kes membabitkan kemalangan parah, manakala 30 lagi adalah kemalangan ringan.

"Mengikut pecahan harian, empat kes direkodkan pada 30 Julai, jumlah tertinggi dicatatkan pada 31 Julai dengan 16 kes kemalangan, 11 kes pada 1 Ogos dan 15 kes pada 2 Ogos," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Muhammed Hasbullah berkata, analisis turut mendapati golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan penglibatan tertinggi dalam kemalangan iaitu seramai 19 orang.

"Ia diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun seramai 10 orang, 41 hingga 50 tahun (9) dan 31 hingga 40 tahun (8).

"Secara keseluruhan, seramai 29 daripada 46 penunggang yang terlibat berusia antara 18 hingga 30 tahun, dengan penunggang berusia 20 tahun merekodkan jumlah penglibatan tertinggi iaitu tujuh orang," katanya.

Beliau berkata, dari aspek jantina, seramai 44 mangsa adalah lelaki manakala dua lagi wanita.

"Kemalangan jenis langgar belakang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti terbabas sendiri (15), langgar sebelah tepi (7) dan bergesel (3)," katanya.

Katanya, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan adalah kecuaian, kegagalan mengawal kenderaan, mengekor terlalu rapat serta tindakan menunggang secara tidak selamat sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Penunggang motosikal dinasihatkan sentiasa mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat, mengelakkan pergerakan berkumpulan yang tidak terkawal, tidak berlumba atau melakukan aksi berbahaya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Menurutnya, kesemua kes kemalangan maut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala kemalangan parah disiasat mengikut Seksyen 43(1) akta sama.

"Penganjur program atau perhimpunan bermotosikal digesa menyediakan pelan pergerakan yang teratur, memberikan taklimat keselamatan kepada peserta serta menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas akan terus dipertingkatkan, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau menunggang secara berbahaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!