[VIDEO] 'Suara rakyat' formula Sinar Harian kekal relevan, bertahan

A
A
A

SHAH ALAM - Berpegang teguh kepada prinsip sebagai 'suara rakyat' tanpa berpihak kepada mana-mana pihak menjadi formula utama yang membolehkan Sinar Harian membina jenama kukuh dan kekal relevan sepanjang dua dekad penubuhannya.

Hussamuddin (empat kiri), Farah (empat kanan), Nasir (tiga kanan) dan Akmal Eirfan (dua, kanan) bergambar bersama kakitangan Sinar Harian sempena Sambutan Ulang Tahun ke-20 Sinar Harian di hadapan Kompleks Karangkraf. Foto SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
Hussamuddin (empat kiri), Farah (empat kanan), Nasir (tiga kanan) dan Akmal Eirfan (dua, kanan) bergambar bersama kakitangan Sinar Harian sempena Sambutan Ulang Tahun ke-20 Sinar Harian di hadapan Kompleks Karangkraf. Foto SINAR HARIAN- ROSLI TALIB

Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, meskipun Sinar Harian merupakan antara akhbar paling muda di negara ini, penerimaan masyarakat terhadap jenama itu terus kukuh kerana konsisten mengangkat suara rakyat sebagai teras pemberitaannya.

Menurut beliau, pendirian tersebut tidak pernah berubah walaupun negara telah melalui pentadbiran beberapa Perdana Menteri sejak akhbar itu diterbitkan 20 tahun lalu.

"Alhamdulillah, dalam tempoh 20 tahun ini kita berjaya benar-benar mencipta jenama Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang bebas berkecuali dan sentiasa menyuarakan suara rakyat.

"Kita betul-betul menjadi lidah rakyat dan tidak berpihak kepada mana-mana. Walaupun kita sudah bekerja di bawah (pentadbiran) lima hingga enam Perdana Menteri, pendirian kita tetap sama iaitu kita adalah suara rakyat.

"Kita bukan suara orang politik dan bukan suara kerajaan, sebaliknya kita adalah suara rakyat. Formula inilah yang menyebabkan kita mampu bertahan sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Doa Selamat Sambutan Ulang Tahun ke-20 Sinar Harian di Karangkraf pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah; Pengarah Eksekutif Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli.

Hussamuddin (tengah) memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun ke-20 Sinar Harian. Foto SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
Hussamuddin (tengah) memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun ke-20 Sinar Harian. Foto SINAR HARIAN- ROSLI TALIB

Hussamuddin berkata, setiap usaha yang dibangunkan Karangkraf bukan sekadar berorientasikan perniagaan, sebaliknya membawa misi membina legasi memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau menambah, perjuangan itu berteraskan usaha mencerdikkan rakyat dan menyumbang kepada kemakmuran negara melalui penyampaian maklumat yang bebas dan bertanggungjawab.

"Karangkraf bukan hanya sebuah syarikat, tetapi merupakan sebuah perjuangan. Perjuangan untuk memandaikan rakyat dan memakmurkan rakyat.

"Jadi, kita berharap surat khabar ini dapat bertahan bukan sahaja 100 tahun, malah kekal beratus-ratus tahun lagi," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengakui industri media ketika ini berdepan cabaran besar susulan perubahan landskap digital turut memberi kesan kepada organisasi media di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau optimis Sinar Harian mampu terus bertahan dengan menggabungkan kekuatan akhbar bercetak dan platform digital untuk memastikan suara rakyat terus diberi ruang.

"Kita berharap Sinar Harian akan terus bertahan sebagai sebuah akhbar bercetak dan pada masa sama terus berkembang dalam platform digital supaya dapat terus menyuarakan suara rakyat serta memperjuangkan kepentingan mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!