SPRM syor dua penambahbaikan pengurusan barangan berbahaya kepada CAAM

Mohd Radzi (dua dari kiri) dan Mohd Zaki (dua dari kanan), menandatangani dokumen disaksikan Norazman (kiri) dan di Bilik Mesyuarat A380, CAAM di Putrajaya pada Khamis. Foto: SPRM
Mohd Radzi (dua dari kiri) dan Mohd Zaki (dua dari kanan), menandatangani dokumen disaksikan Norazman (kiri) dan di Bilik Mesyuarat A380, CAAM di Putrajaya pada Khamis. Foto: SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua syor penambahbaikan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memperkukuhkan pengendalian Barangan Berbahaya (Dangerous Goods-DG) melalui pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Syor itu dikemukakan SPRM melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).

SPRM dalam kenyataan berkata, cadangan pertama ialah penggunaan mesin pengimbas berteknologi tinggi yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pengesanan lebih tepat oleh semua pengendali terminal kargo yang mengendalikan DG.

"Cadangan kedua ialah Unit DG diperkasakan melalui penambahan pegawai dan menaiktaraf sistem sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan fungsi pengawasan selaras dengan standard keselamatan penerbangan antarabangsa.

"Penyiasatan tatakelola dilaksanakan susulan berlakunya satu kejadian kebakaran kecil di terminal kargo KLIA membabitkan DG ketika hendak dibawa masuk ke dalam pesawat," katanya pada Jumaat.

Sebelum itu, sesi pembentangan syor penambahbaikan itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib di Bilik Mesyuarat A380, CAAM di sini pada Khamis.

Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Kawal Selia) CAAM, Kapten Mohd Radzi Mohamad Alias@Abdul Majid dan Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan, disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Dalam pembentangan itu, CAAM menyambut baik cadangan tersebut dan komited untuk melaksanakannya secara berperingkat.

Kata SPRM, kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dan CAAM dalam memperkukuhkan tadbir urus serta meningkatkan keselamatan pengendalian barangan berbahaya selaras dengan standard penerbangan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!