Tidur di pejabat tunggu naskhah sulung edisi Terengganu

Noor Hayati (lima dari kanan) bersama wartawan Sinar Harian Terengganu merakam gambar kenangan bersama penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua ketika menjalankan aktiviti komuniti di perkampungan berkenaan pada 2011.
Noor Hayati (lima dari kanan) bersama wartawan Sinar Harian Terengganu merakam gambar kenangan bersama penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua ketika menjalankan aktiviti komuniti di perkampungan berkenaan pada 2011.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU – "Sanggup tidur di pejabat kerana tak sabar menunggu ketibaan naskhah sulung Sinar Harian edisi Terengganu.”

Demikian kata bekas wartawan perintis Sinar Harian Terengganu, Noor Hayati Mamat, 44, ketika mengimbau kembali detik manis awal penubuhan akhbar ini 20 tahun lalu.

​Menurutnya, edisi sulung pada 31 Julai 2006 itu dijual pada harga 'samah jah' iaitu 50 sen menjadi antara kenangan tidak dapat dilupakan.

​Bercerita lanjut mengenai cabaran awal untuk meyakinkan masyarakat terhadap akhbar ini, Noor Hayati mengakui bukan mudah untuk membawa jenama akhbar baharu.

​"Ada yang tak mahu beri kerjasama kerana tidak yakin dengan keupayaan Sinar Harian pada waktu itu.

“Ada juga yang memperlekeh konsep berita komuniti dan cerita-cerita kampung dengan mempersoalkan siapa yang mahu membaca berita sedemikian," katanya.

​Usaha gigih kumpulan beberapa wartawan perintis akhirnya membuahkan hasil apabila laporan berbentuk aduan rakyat dan kisah kemasyarakatan berjaya memberi impak besar apabila mendapat respons pihak berwajib.

Antaranya kata Noor Hayati, isu hakisan tebing sungai yang segera diambil tindakan selain kisah kedai roti binjai legenda menjadi tular sehingga kini dan sentiasa dipenuhi pelanggan dari luar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!