'Cikgu Narimah nasihatkan saya supaya pilih jurusan undang-undang' - KP SPRM

PUTRAJAYA - Nasihat seorang guru menjadi bimbingan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman memilih jurusan undang-undang ketika melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
Menurut Abd Halim, beliau menuntut selama dua tahun di Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR) di Seremban, Negeri Sembilan ketika Tingkatan Enam.
"Guru kelas saya pada masa itu ialah Datuk Seri Mohd Isa Abdul Samad (bekas Menteri Besar Negeri Sembilan) yang merupakan guru Sastera dan disiplin. Beliau seorang yang amat tegas.
"Semasa di Tingkatan Enam, saya mengambil jurusan sastera dan Alhamdulillah, semasa menduduki peperiksaan Higher School Certificate (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia), saya lulus dengan agak cemerlang juga," katanya dalam podcast Kolar Hitam di sini pada Khamis.
Anak jati Kampung Alai, Melaka itu berkata, pada masa itu tiada guru kerjaya seperti hari ini yang boleh membimbing atau menjadi tempat rujukan untuk memilih kursus di universiti.
Kata anak kelima daripada lapan beradik itu, pemilihan kursus ketika itu perlu bergantung kepada kemampuan pelajaran, kemampuan kewangan dan sebagainya.
"Universiti pun pada masa itu hanya ada lima. Rasanya belum ada sistem UPU seperti sekarang. Permohonan dibuat melalui borang biasa.
"Dalam memilih kursus yang sesuai untuk diri saya, saya juga termanggu-manggu. Saya tertanya-tanya sama ada mahu mengambil perguruan atau kursus lain. Macam-macam bermain dalam fikiran," ujarnya.
Tambahnya, sumber rujukan ketika itu ialah guru sejarah.
"Saya memang minat sejarah, suka membaca, mengingati fakta dan memahami sesuatu peristiwa.
"Guru sejarah saya bernama Cikgu Narimah. Walaupun sudah 40 atau 50 tahun berlalu, saya masih ingat nama beliau. Cikgu Narimah menasihatkan saya supaya mengikuti kursus undang-undang.
"Pada masa itu saya tidak tahu pun apa sebenarnya kursus undang-undang, bagaimana prospeknya, kerjayanya dan hala tujunya," ujarnya.
Namun, katanya, Cikgu Narimah memberitahu jurusan undang-undang memerlukan penelitian, ingatan, hafalan dan pemahaman.
"Berdasarkan nasihat Cikgu Narimah, saya memilih kursus undang-undang. Alhamdulillah, saya diterima masuk ke Universiti Malaya untuk mengikuti pengajian undang-undang.
"Pada masa itu, kemasukannya tidak ramai, hanya sekitar 50 orang sahaja bagi Fakulti Undang-Undang," ujarnya.
Abd Halim juga memaklumkan ramai rakannya yang sudah bersara dalam kerjaya termasuk beberapa sahabat yang merupakan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
"Ramai juga yang beramal sebagai peguam. Itulah ceritanya bagaimana saya memilih jurusan undang-undang, walaupun pada awalnya saya tidak mengetahui langsung kedudukan atau hala tuju bidang tersebut," ujarnya.
Abd Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei lalu menggantikan Tan Sri Azam Baki.
Dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka, beliau kini berusia 69 tahun dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya serta Universiti of Hull, United Kingdom.
Beliau sebelum ini menyandang jawatan terakhir sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pernah mengendalikan beberapa kes jenayah berprofil tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
