Pleco gugat kelestarian bandar

AIRNYA kelihatan tenang mengalir di permukaan, namun tebingnya sedang ‘menderita'.
Demikian realiti yang dikesan di beberapa sungai bandar apabila ekosistem semula jadi itu menjadi lubuk pembiakan luar kawalan spesies asing invasif atau dikenali ikan bandaraya.
Sungai di kawasan bandar adalah nadi yang menyokong sistem saliran, mengurangkan risiko banjir, mengekalkan keseimbangan ekosistem dan beri sedikit ruang untuk rekreasi awam.
Namun tekanan berterusan akibat dominasi ikan bandaraya bukan sahaja meningkatkan cabaran kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah boleh menjejaskan usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkukuh pembangunan bandar mampan.

Selaras dengan Dasar Perbandaran Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 11), sungai bandar merupakan sebahagian daripada infrastruktur hijau dan biru yang menyokong sistem saliran, mengurangkan risiko banjir serta menyediakan ruang rekreasi awam untuk kesejahteraan penduduk.
Gambaran jelas dapat dilihat ketika Sinar Harian melakukan tinjauan di Denai Sungai Kebangsaan, Hulu Langat sempena program Sekilo Seringgit: Buru Ikan Pleco, baru-baru ini.
Dalam tempoh satu jam operasi dijalankan, hampir setiap tebaran jala menaikkan tidak kurang 20 ekor ikan bandaraya, malah ada yang memperoleh jumlah sangat banyak sehingga tidak terdaya menarik jala sama seperti tersangkut pada kayu.
Bahkan penulis yang pertama kali mencuba menebar jala turut berhasil menangkap sebanyak 11 ekor ikan, sekali gus memberi petunjuk tahap kepadatan populasi spesies tersebut di dasar sungai.
Pemerhatian di lapangan itu selari dengan inisiatif Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) yang sejak beberapa tahun melaksanakan operasi memburu spesies invasif di sungai terutama kawasan bandar.
Pengasas dan Pengerusinya, Mohamad Haziq A Rahman berkata, sebanyak 139.2 tan ikan bandaraya telah dikeluarkan dari beberapa sungai seluruh Semenanjung sejak 2023 hingga pertengahan tahun ini.
“Kerana jumlahnya masih terlalu banyak menyebabkan hasil tangkapan tidak sampai 10 peratus sahaja," katanya.
Lebih membimbangkan, operasi SPIA mendapati bagi setiap satu tan ikan bandaraya yang berjaya ditangkap, kadangkala kurang daripada 10 ekor spesies ikan tempatan ditemui.

Malah terdapat operasi yang langsung tidak menemukan ikan tempatan dalam sejumlah 500 kilogram hingga satu tan ikan bandaraya yang dinaikkan.
“Dominasi ikan ini bahaya kerana merosakkan dan meruntuhkan tebing sungai apabila ia mengorek lubang-lubang di sepanjang tebing sungai untuk buat sarang dan bertelur.
“Setiap lubang ke dalam maksimum boleh cecah satu hingga 1.5 meter,” ujarnya lagi.
Hakisan tebing sungai bukan sekadar isu alam sekitar kerana dalam konteks pengurusan bandar, kerosakan itu berpotensi menjejaskan taman awam, laluan pejalan kaki, denai rekreasi, sistem saliran dan kemudahan awam berhampiran rizab sungai.
Selain mengurangkan kualiti hidup penduduk bandar, perkara tersebut boleh meningkatkan kos penyelenggaraan dan kerja pemulihan yang perlu ditanggung agensi kerajaan.
Menurut Mohamad Haziq, sungai di bandar merekodkan jumlah tinggi dominasi spesies invasif itu yang dipercayai berpunca daripada sikap peminat hobi ikan hiasan.
“Hampir setiap rumah yang bela ikan hiasan spesies tempatan, pasti akan ada ikan bandaraya. Sampai satu masa tak mampu nak jaga, ikan bandaraya itu dilepaskan,” katanya.
Tanpa pemangsa semula jadi, ikan tersebut membiak dengan cepat sehingga menguasai habitat sungai.
Kebimbangan itu turut mendapat perhatian Jabatan Perikanan yang sebelum ini melaksanakan 74 siri inventori perikanan darat di seluruh negara antara 2021 hingga 2023 bagi memantau sumber perikanan serta ancaman spesies asing invasif.

Di sebabkan itu, penduduk Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Siti Kamariah Ahmad, 54, berkata, dominasi ikan bandaraya perlu diberi perhatian serius kerana memberi ancaman terhadap hakisan tebing.
“Apabila air surut, boleh nampak jelas banyak lubang kat tebing. Tanah jadi mudah runtuh.
"Saya risau lama-lama hakisan makin teruk sebab bila hujan lebat, air sungai jadi besar dan deras," luahnya.
Sungai aset strategik bandar mampan
Kesan kerosakan sungai bandar bukan terhad kepada hakisan kerana dalam kerangka perancangan bandar, sungai turut berfungsi sebagai koridor biru yang membantu mengurus lebihan air dan menstabilkan mikroiklim.
Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Gobi Krishna Sinniah berkata, sejarah telah membuktikan bahawa kawasan Lembah Klang terdedah dengan banjir disebabkan tahap kualiti fizikal sungai yang teruk.
“Sokongan landskap lembut yang memberikan elemen kehijauan juga sangat penting untuk menstabilkan suhu bandar yang dipenuhi dengan binaan konkrit,” katanya.
Ujar beliau, garis Panduan Perancangan (Kawasan Lapang dan Rekreasi) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) berperanan dalam mengawal pembangunan dengan memastikan taman bandar dan landskap hijau berkemampuan menstabilkan tebing sungai.

River of Life (RoL) antara langkah strategik untuk memastikan ekosistem sungai dipelihara dengan pelbagai aktiviti pengindahan dan pengekalan alam sekitar.
Selain itu, semua PBT di negara ini juga giat menyelaraskan agenda pembangunan masing-masing termasuk pemerkasaan elemen infrastruktur hijau dan biru dalam perancangan bandar.
Ini kerana Dasar Perbandaran Negara (DPN) adalah jelas dan tidak berkompromi apabila melibatkan elemen sungai terutama di kawasan bandar selaras dengan SDG 11.
Sungai bandar juga merupakan aset strategik negara yang mempunyai nilai ekonomi tinggi sebagai sistem saliran, kawalan banjir, ruang rekreasi dan penyumbang kepada nilai hartanah.
Kos pemulihan boleh cecah RM100 juta setahun
Dalam jangka panjang, ancaman ikan bandaraya terhadap hakisan akan memaksa kerajaan memperuntukkan sejumlah kos untuk kerja baik pulih tebing, pengukuhan cerun, pengorekan sungai dan penyelenggaraan sistem saliran bandar.
Beban kewangan itu merupakan satu bentuk kos luaran yang akhirnya ditanggung oleh masyarakat melalui perbelanjaan awam.
Menurut Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, negara ini mempunyai lebih daripada 5,000 kilometer sungai bandar dan lebih 189 lembangan sungai.
“Jika 15 peratus daripada sungai bandar ditakluki ikan bandaraya, anggaran kawasan terjejas mencecah 750 kilometer sungai.
“Kos pembaikan tebing sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) biasanya berada dalam lingkungan RM1 juta hingga RM8 juta setiap kilometer, bergantung kepada jenis struktur.
“Katakan secara konservatif RM2 juta setiap kilometer, jika hanya 50 kilometer perlu dibaiki setiap tahun, kos yang perlu ditanggung kerajaan ialah RM100 juta setahun,” katanya.
Angka itu belum termasuk kos menangani mendapan lumpur, banjir kilat, kehilangan biodiversiti dan kawasan rekreasi yang turut memberi kesan ekonomi kepada komuniti setempat.
Mengulas mengenai kos program mengawal ikan bandaraya, Barjoyai berkata, jika kerajaan membeli ikan itu daripada nelayan pada kadar RM2.50 seekor dan menyasarkan 10 juta ekor setahun, kos pembelian mencecah RM25 juta.
“Apabila ditambah kos pusat pengumpulan (RM10 juta), pemprosesan (RM20 juta) dan pengangkutan (RM15 juta), jumlah keseluruhan program dianggarkan sekitar RM70 juta setahun.
“Angka ini masih lebih rendah daripada kos pembaikan sungai," ujarnya.
Berdasarkan analisis ekonomi yang dibuat, kos tidak bertindak terhadap ancaman ikan bandaraya berkemungkinan lebih tinggi berbanding perbelanjaan melaksanakan program kawalan secara berterusan.
Barjoyai berpandangan, kerajaan boleh mempertimbangkan model ekonomi kitaran dengan menjadikan ikan bandaraya sebagai sumber pendapatan melalui penghasilan makanan ternakan, baja organik, produk berasaskan kolagen dan kraftangan.

Penyelesaian
Sehubungan itu, inisiatif program Sekilo Seringgit: Buru Ikan Pleco perlu diperluaskan ke seluruh negara agar lebih ramai komuniti menyertai operasi memburu ikan bandaraya sebelum kerosakan tebing menjadi semakin serius.
Kejayaan melindungi sungai bandar tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menyokong kelestarian bandar yang selamat serta berdaya tahan untuk generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

