Melaka negeri pertama laksana Tiang Fiber Guna Sama

MELAKA mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan projek Tiang Fiber Guna Sama, sekali gus memperkenalkan model baharu pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang dijangka mempercepatkan peluasan rangkaian internet berkelajuan tinggi serta mengoptimumkan penggunaan aset utiliti negara.
Projek yang diterajui oleh Koridor Utiliti Melaka Sdn. Bhd. (KUM) itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Taman Perling Impian, Simpang Ampat, pada Selasa.
Fasa perintis projek tersebut melibatkan pemasangan 85 unit Tiang Fiber Guna Sama yang dijangka memberi manfaat kepada 315 premis atau kira-kira 1,260 penduduk, dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang penghujung Ogos ini.

Pelaksanaan projek berkenaan membolehkan beberapa penyedia perkhidmatan internet (ISP) dan telekomunikasi berkongsi satu struktur tiang yang sama, berbeza dengan amalan sedia ada yang memerlukan setiap operator membina infrastruktur masing-masing.
Pendekatan itu dijangka dapat mengurangkan pertindihan pembinaan tiang, menjimatkan kos pembangunan dan penyelenggaraan, mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar, selain meningkatkan aspek keselamatan dan estetika kawasan perumahan serta komersial.
Ab Rauf berkata, projek berkenaan merupakan langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem digital negeri dan menyokong aspirasi Melaka Maju Jaya melalui pembangunan infrastruktur komunikasi yang lebih moden serta mampan.
“Projek Tiang Fiber Guna Sama pertama di Malaysia ini meletakkan Melaka sebagai peneraju pembangunan infrastruktur telekomunikasi bersepadu di negara ini. Ia bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi satu langkah strategik untuk memperkukuh agenda transformasi digital selaras dengan aspirasi Melaka Maju Jaya,” katanya.
Beliau berkata, model perkongsian infrastruktur tersebut akan membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi digital negeri melalui penyediaan rangkaian komunikasi yang lebih cekap, tersusun dan berdaya tahan.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur digital yang berkualiti bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan baharu, menyokong pertumbuhan industri teknologi serta memperkukuh daya saing Melaka sebagai destinasi pelaburan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KUM, Ismael Hamdan berkata, projek berkenaan memperkenalkan pendekatan baharu dalam pembangunan utiliti telekomunikasi yang memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan pengguna.
Katanya, melalui konsep Tiang Fiber Guna Sama, penyedia perkhidmatan telekomunikasi tidak lagi perlu membina tiang secara berasingan kerana semua operator boleh berkongsi infrastruktur yang sama secara lebih sistematik.
“Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos pembangunan, malah mempercepatkan penyediaan rangkaian internet yang stabil dan berkualiti kepada pengguna. KUM komited untuk menjadi pemudah cara utama dalam penyelarasan pembangunan utiliti dan infrastruktur komunikasi negeri,” katanya.
Beliau berkata, projek perintis di Taman Perling Impian akan menjadi asas kepada peluasan konsep yang sama di kawasan pembangunan baharu di seluruh Melaka.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja mengurangkan kos pembinaan dan penyelenggaraan, malah membantu mengurangkan risiko pertindihan infrastruktur, memudahkan kerja penyelenggaraan utiliti serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan telekomunikasi.
Selain memberi manfaat kepada industri telekomunikasi, pelaksanaan Tiang Fiber Guna Sama dijangka meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui penyediaan internet yang lebih pantas dan stabil, di samping mewujudkan persekitaran bandar yang lebih kemas, selamat dan mesra alam.
KUM merupakan syarikat yang diberi mandat oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelaras pembangunan koridor utiliti negeri, termasuk rangkaian fiber optik akses terbuka, pembangunan Tiang Fiber Guna Sama, laluan utiliti bersepadu serta penyelarasan pembangunan utiliti bawah tanah.
Pelaksanaan projek perintis ini dilihat mampu menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi negara. Sekiranya diperluaskan ke negeri-negeri lain, model perkongsian infrastruktur tersebut berpotensi mempercepatkan pembangunan ekonomi digital Malaysia melalui penggunaan aset yang lebih cekap, mampan dan kos efektif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
