Kanada mohon pengampunan bagi warganya yang dijatuhi hukuman mati

Schellenberg dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah China kelmarin. - FOTO AFP
Schellenberg dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah China kelmarin. - FOTO AFP
A
A
A

OTTAWA - KANADA. Kanada memohon agar China memberi pengampunan kepada warganya yang dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah negara itu atas dakwaan mengedar dadah.

Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland berkata, pihaknya telah menghubungi kedutaan China dan memohon pengampunan untuk Robert Lloyd Schellenberg, 36, yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Dalian, Isnin lalu.

"Ia adalah keputusan tidak berperikemanusiaan dan tidak wajar, dan bila mana hukuman sedemikian dikenakan ke atas warga Kanada, kami akan menentangnya," kata Freeland.

Schellenberg yang ditahan pada 2014, sebelum ini dijatuhi penjara 15 tahun, namun perbicaraan semula yang dijalankan memutuskan hukuman tersebut terlalu ringan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menuduh Beijing dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa sistem pengadilan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying pula menafikan Beijing mempolitikkan kes Schellenberg, dan menggesa Ottawa menghormati kedaulatan sistem perundangannya.

“Schellenberg terlibat dalam sindiket mengedar dadah antarabangsa dan didapati menyeludup 222.035 kilogram methamphetamines bersama rakan subahatnya.

"Hujah pihak pendakwaan adalah jelas disertai bukti boleh dipercayai serta menyeluruh," kataChunying.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, selagi warga asing termasuklah rakyat Kanada, mematuhi undang-undang negaranya, kebebasan dan keselamatan mereka adalah terjamin.

Keputusan terbaharu itu, meningkatkan lagi ketegangan Kanada-China susulan penahanan eksekutif kanan Huawei di Kanada sebelum ini, diikuti penangkapan dua rakyat Kanada yang didakwa membahayakan keselamatan negara China. - Press TV