10 penempatan paling ekstrem
DI sebalik pembangunan pesat dunia, jutaan manusia masih hidup di penempatan ekstrem seperti di tanah perkuburan, bawah jambatan, di kawasan berhampiran timbunan sampah dan perkampungan atas air yang daif. Kekurangan kemudahan asas menjadikan setiap hari satu perjuangan untuk mereka terus hidup.
1. Manila North Cemetery (Filipina)

Bagi kebanyakan orang, tanah perkuburan ialah tempat persemadian, namun di Manila North Cemetery, ia menjadi rumah kepada ribuan penduduk. Mereka tinggal di celah makam, membesarkan anak dan mencari rezeki sebagai penjaga kubur atau pengukir batu nisan kerana tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
2. Rumah Sangkar (Hong Kong)

Walaupun Hong Kong merupakan antara pusat kewangan terkaya dunia, masih terdapat ribuan penduduk yang tinggal di rumah sangkar. Kediaman ini hanya cukup untuk memuatkan sebuah katil kecil dan sedikit ruang menyimpan pakaian. Dapur serta tandas dikongsi bersama penghuni lain, menjadikan kehidupan amat sempit dan tidak selesa.
3. Penempatan bawah Jambatan (Indonesia)

Di Jakarta, sebahagian keluarga membina kediaman di bawah jambatan serta di tebing Sungai Ciliwung kerana tidak mampu menyewa rumah. Penempatan ini sering dilanda banjir, dipenuhi sampah dan terdedah kepada risiko pengusiran apabila kerajaan melaksanakan projek pemulihan sungai.
4.Dharavi (India)

Dharavi di Mumbai ialah antara kawasan setinggan paling terkenal di dunia. Walaupun lorongnya sempit dan rumah dibina berhimpit, kawasan ini menjadi pusat perusahaan kecil seperti kitar semula, tekstil dan pembuatan barangan kulit yang menjana nilai ekonomi yang besar setiap tahun.
5. Makoko (Nigeria)

Makoko dikenali sebagai 'perkampungan terapung' kerana hampir semua rumah dibina di atas tiang kayu di Laguna Lagos. Penduduk menggunakan bot untuk ke sekolah, bekerja dan membeli keperluan harian. Kebakaran, pencemaran air dan ancaman perobohan menjadi cabaran utama komuniti ini.
6. Kibera (Kenya)

Kibera berkembang menjadi sebuah komuniti besar yang mempunyai sekolah, pasar dan pelbagai perniagaan kecil. Namun, kepadatan penduduk yang tinggi menyebabkan bekalan air bersih, sistem kumbahan dan elektrik masih menjadi cabaran besar.
7. Rocinha (Brazil)

Rocinha merupakan favela (penempatan setinggan) terbesar di Rio de Janeiro. Rumah-rumah dibina rapat di lereng bukit sehingga membentuk kawasan kediaman yang sangat padat. Selain risiko tanah runtuh, kawasan ini sentiasa berdepan masalah jenayah terancang dan perdagangan dadah.
8. Manshiyat Naser (Mesir)

Sebahagian besar penduduk Manshiyat Naser mencari rezeki dengan mengutip, mengasingkan dan mengitar semula sampah dari seluruh Kaherah. Walaupun dipenuhi timbunan sisa pepejal, komuniti ini terkenal kerana mampu mengitar semula sebahagian besar bahan buangan yang dikumpulkan.
9. Petare (Venezuela)

Petare di Caracas berkembang tanpa perancangan sehingga memenuhi lereng bukit dengan ribuan rumah bata. Krisis ekonomi Venezuela memburukkan lagi keadaan apabila ramai penduduk hidup dalam kemiskinan, manakala akses kepada perkhidmatan asas dan keselamatan kekal menjadi cabaran.
10. Khayelitsha (Afrika Selatan)

Khayelitsha merupakan antara penempatan tidak formal terbesar di Afrika Selatan. Kebanyakan rumah dibina menggunakan kepingan zink, papan dan bahan terpakai. Kebakaran yang merebak dengan pantas sering memusnahkan ratusan rumah dalam satu-satu kejadian, selain masalah pengangguran dan kekurangan kemudahan asas. - Sumber AFP;UNHABITAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
