Lima prestasi cemerlang ekonomi Negeri Sembilan

SHAH ALAM - Peningkatan kutipan hasil Negeri Sembilan daripada RM413 juta pada 2017 kepada RM610 juta pada 2025 memberi gambaran jelas mengenai kedudukan fiskal yang semakin sihat dan berdaya tahan, kata Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.
Menurut Penganalisis Ekonomi UNIKL Business School itu, kenaikan sebanyak 47.7 peratus dalam tempoh lapan tahun menandakan kecekapan kutipan meningkat menerusi digitalisasi cukai pintu, pelesenan dan penurunan isu ketirisan hasil tanah.
Ujar beliau, asas ekonomi di negeri tersebut juga berkembang positif dalam konteks hasil cukai dan bukan cukai apabila meningkat secara semula jadi, selain pertambahan pelaburan serta aktiviti perniagaan.
Jelasnya lagi, negeri dengan hasil yang kukuh tidak perlu terlalu bergantung kepada geran Persekutuan dan secara tidak langsung memberi lebih autonomi kepada kerajaan negeri untuk berbelanja mengikut keutamaan rakyat.
“Menyentuh tentang sejauh mana peningkatan rizab Negeri Sembilan dari RM725.96 juta (2017) kepada RM1.04 bilion (2025) mencerminkan kekuatan kewangan sesebuah negeri, saya lihat ia penunjuk kekuatan penampan atau fiscal buffer yang sangat baik.
“Berdasarkan amalan antarabangsa, rizab negeri yang sihat adalah tiga hingga enam bulan perbelanjaan mengurus. Dengan rizab RM1.04 bilion tahun lalu, Negeri Sembilan memiliki keupayaan untuk menghadapi kejutan.
“Contohnya isu banjir, kemelesetan atau kejatuhan hasil komoditi tanpa perlu memotong perkhidmatan asas. Selain itu, pembiayaan projek pembangunan tanpa perlu meminjam dan membayar faedah,” katanya kepada Sinar Harian.
Aimi Zulhazmi merumuskan, rizab melebihi RM1 bilion itu berjaya meletakkan Negeri Sembilan pada kelompok lima negeri teratas dari segi kekuatan tunai.
Mengulas mengenai peningkatan pelaburan dari RM1.14 bilion kepada RM54.3 bilion dalam lapan tahun, beliau menyifatkan ia lonjakan luar biasa dan sukar ditandingi.
Menurutnya, kenaikan hingga 47 kali ganda meletakkan Negeri Sembilan hampir setaraf Selangor dan Johor dalam tahun puncak masing-masing.
Ketika ditanya tentang pencetus utama lonjakan berlaku, kata beliau, ia disebabkan pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis, pusat data di Sendayan serta kos tanah atau logistik yang kompetitif berbanding Kuala Lumpur dan Selangor.
“Tetapi kita perlu melihat pula kepada nilai yang bakal direalisasikan, bukan hanya komitmen. Pada saya, 40 peratus dari RM54.3 bilion sudah cukup untuk ubah landskap Negeri Sembilan,” ujar beliau.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi memaklumkan, penurunan kadar pengangguran di negeri terbabit dari 3.8 peratus pada 2020 kepada 3.1 peratus (2025) menunjukkan pelaburan baharu berjaya menyerap tenaga kerja tempatan.
“Kadar menurun 0.7 peratus kepada 3.1 peratus dikira guna tenaga penuh atau full employment, ini sangat baik.
“Maksudnya hampir semua yang mahu kerja berjaya memiliki pekerjaan.
“Cuma cabaran yang mesti diambil perhatian adalah Negeri Sembilan perlu memastikan pekerjaan baharu tidak kiralah daripada pusat data atau pembuatan moden mampu membayar gaji lebih RM4,000 sebulan,” katanya.
Menurut Aimi Zulhazmi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.2 peratus dalam lima tahun kebelakangan dipacu oleh kepelbagaian ekonomi.
Beliau berkata, ia tidak hanya bergantung 100 peratus kepada pertanian dan pembuatan tradisional tetapi juga perkhidmatan, logistik serta pendigitalan.
“Selain itu, peningkatan produktiviti iaitu pertumbuhan KDNK lebih tinggi berbanding pertumbuhan penduduk atau dalam erti kata lain, setiap pekerja di Negeri Sembilan semakin produktif.
“Pertumbuhan KDNK 17.2 peratus dalam lima tahun menyamai Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR), ini lebih tinggi daripada purata nasional dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau berpandangan, prestasi Negeri Sembilan bagi tempoh 2017 hingga 2025 boleh dilabel sebagai ‘transformasi fiskal dan ekonomi ketara’.
“Kesemua lima petunjuk bergerak serentak ke arah positif. Ini jarang-jarang berlaku kerana biasanya apabila pelaburan naik, pengangguran turun lambat. Apabila hasil naik, rizab tak semestinya naik.
“Gabungan ini menunjukkan dasar negeri berjaya menarik pelaburan, mencipta peluang pekerjaan, memperbesarkan ekonomi, mengutip lebih hasil dan menyimpan ia sebagai rizab. Ini satu kitaran ekonomi yang sihat,” ujarnya.
Tiga badan kanun catat untung berganda
Sementara itu, tiga badan berkanun Negeri Sembilan merekodkan peningkatan keuntungan yang ketara sepanjang tempoh 2018 hingga 2024.
Yayasan Negeri Sembilan (YNS) merekodkan keuntungan RM38.75 juta pada 2024 berbanding RM2.52 juta pada 2018, manakala Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) beralih daripada kerugian RM800,000 (2018) kepada keuntungan RM4.61 juta (2024).
Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) pula mencatat keuntungan RM14.66 juta (2024) berbanding hanya RM27,000 (2018).
Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, prestasi kewangan itu menjadi petunjuk keberkesanan pengurusan dan tadbir urus yang baik.
Kata beliau, ia bukan sahaja membanggakan malah dijangka memberi manfaat kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ujarnya, prestasi tersebut dipengaruhi gabungan faktor luaran dan dalaman, termasuk pertumbuhan ekonomi negara yang positif sehingga turut merangsang perkembangan ekonomi Negeri Sembilan.
“Aspek pengurusan yang cekap serta amalan tadbir urus yang baik turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi kewangan badan berkanun.
“Apabila pasukan pengurusan terdiri daripada golongan profesional dan dibantu ahli lembaga pengarah yang tidak mempunyai konflik kepentingan, badan berkanun dapat memberi tumpuan kepada objektif utama organisasi.
“Keadaan ini akhirnya menyumbang kepada prestasi kewangan yang lebih cemerlang serta membolehkan badan berkanun terus memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negeri,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
