Bangkai pesawat ditemui selepas 74 tahun

Pesawat Pan American Airways (Pan Am). Foto BBC
Pesawat Pan American Airways (Pan Am). Foto BBC
A
A
A

SAN JUAN – Bangkai pesawat Pan American Airways (Pan Am) yang terhempas di Lautan Atlantik 74 tahun lalu berjaya ditemui pada kedalaman kira-kira 610 meter di luar pantai Puerto Rico.

Penemuan tersebut menghidupkan semula tragedi yang mengubah sejarah keselamatan industri penerbangan.

Pesawat Clipper Endeavor ditemui menggunakan dron sonar autonomi selepas pasukan penyelidik mengesan serpihan badan dan ekor pesawat di dasar laut.

Pesawat jenis Douglas DC-4 itu terhempas pada 11 April 1952 selepas mengalami kegagalan beberapa enjin tidak lama selepas berlepas dari Puerto Rico menuju ke New York.

Ketika kejadian, pesawat berkenaan membawa 64 penumpang dan lima kru.

Juruterbang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan secara kasar di permukaan laut.

Walaupun kesemua penumpang dan kru terselamat ketika hentaman awal, keadaan bertukar buruk apabila pesawat mula tenggelam dengan pantas.

Kekeliruan berlaku apabila ramai penumpang menghadapi kesukaran mencari jaket keselamatan dan rakit penyelamat yang diperlukan untuk terus bertahan di laut.

Daripada 69 individu di dalam pesawat, hanya 17 orang berjaya diselamatkan manakala 52 lagi maut dalam tragedi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tragedi cetus perubahan keselamatan penerbangan

Menurut pakar keselamatan penerbangan, John Cox, tragedi Clipper Endeavor menjadi pencetus kepada perubahan besar dalam peraturan keselamatan penerbangan moden.

Beliau berkata, insiden itu mendorong pengenalan peraturan yang mewajibkan syarikat penerbangan menyediakan taklimat keselamatan sebelum penerbangan selain memastikan penumpang mengetahui lokasi pintu kecemasan, jaket keselamatan dan cara penggunaannya.

“Setiap kali seseorang menaiki pesawat hari ini, mereka lebih selamat kerana apa yang berlaku kepada Clipper Endeavor dan penumpangnya lebih tiga suku abad lalu,” kata hos rancangan Expedition Unknown, Josh Gates.

Hari ini, prosedur keselamatan sebelum penerbangan menjadi amalan wajib bagi semua penerbangan komersial di seluruh dunia.

Penemuan selepas bertahun-tahun mencari

Ekspedisi mencari bangkai pesawat itu diketuai oleh Air/Sea Heritage Foundation dengan kerjasama rancangan Discovery Channel, Expedition Unknown serta beberapa organisasi lain.

Matthews (kiri) berkata, beliau bertekad menemukan bangkai pesawat itu sebelum ulang tahun ke-75 nahas berkenaan. Foto BBC
Matthews (kiri) berkata, beliau bertekad menemukan bangkai pesawat itu sebelum ulang tahun ke-75 nahas berkenaan. Foto BBC

Presiden Air/Sea Heritage Foundation, Russ Matthews berkata, pasukannya terkejut dan terharu dengan penemuan itu, namun tetap mengenang tragedi yang berlaku di lokasi berkenaan.

“Kami semua terkejut dan gembira dengan penemuan ini, tetapi pada masa sama berasa rendah hati untuk mengingati apa yang berlaku di tempat itu begitu lama dahulu,” katanya.

Matthews mula berminat mencari bangkai pesawat itu pada 2019 selepas membaca laporan mengenai tanda bagasi penerbangan tersebut yang ditemui terdampar di Florida.

Beliau kemudian meneliti laporan Lembaga Penerbangan Awam Amerika Syarikat, iaitu badan sebelum penubuhan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) bagi mengesan lokasi sebenar nahas.

Pasukan penyelidik turut menggunakan rekod pendengaran awam di Puerto Rico termasuk peta yang dilukis juruterbang tentera udara yang menyaksikan kejadian itu.

Gabungan data sejarah, keadaan cuaca ketika nahas dan maklumat teknikal membantu mereka mengecilkan kawasan pencarian kepada kira-kira 10 batu nautika persegi di dasar Atlantik.

Cubaan pertama pada 2024 gagal akibat keadaan cuaca buruk, namun pasukan itu kembali menjalankan pencarian sebelum ulang tahun ke-75 tragedi berkenaan.

Logo Pan Am masih kelihatan

Pada 2 Jun lalu, dron sonar autonomi berjaya mengesan bangkai pesawat itu dalam imbasan pertama di kawasan pencarian.

Pemeriksaan lanjut menggunakan kamera bawah laut mengesahkan identiti pesawat apabila imej menunjukkan logo Pan Am dan nama Clipper Endeavor masih kelihatan pada bahagian badan pesawat.

Tinjauan fotografi mendapati logo Pan Am dan nama pesawat itu masih jelas kelihatan. Foto BBC
Tinjauan fotografi mendapati logo Pan Am dan nama pesawat itu masih jelas kelihatan. Foto BBC

Bangkai pesawat itu ditemui dalam dua bahagian di dasar laut selepas lebih tujuh dekad berada di bawah air.

Penemuan tersebut turut memberi harapan baharu kepada keluarga mangsa nahas udara lain yang masih belum ditemui, termasuk pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 2014 bersama 239 penumpang dan kru.

Dokumentari khas mengenai ekspedisi mencari bangkai Clipper Endeavor akan disiarkan menerusi rancangan Expedition Unknown pada musim luruh ini.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!