Bantahan gerakan ‘lipas’ terus gugat kerajaan Modi

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Mumbai.
Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Mumbai.
A
A
A

NEW DELHI – Gelombang bantahan pelajar di India terus memuncak apabila ribuan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara pada Rabu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi berhubung isu skandal peperiksaan dan tuntutan pembaharuan sistem pendidikan.

Protes yang diterajui gerakan Cockroach Janta Party (CJP), sebuah gerakan dipacu media sosial, kini dianggap antara cabaran politik terbesar kepada pentadbiran Modi sejak beliau dipilih semula pada 2024.

Ribuan penunjuk perasaan terus berkampung di kawasan Jantar Mantar di tengah-tengah New Delhi sambil menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan.

Menurut wartawan AFP di lokasi, jumlah peserta protes terus meningkat sehingga mencecah ribuan orang.

“Kerajaan sedang memusnahkan masa depan kami,” kata seorang pelajar berusia 19 tahun, Pooja Kushi, yang datang dari negeri Haryana bersama abang dan dua rakannya.

Bantahan itu turut merebak ke beberapa bandar utama lain termasuk Mumbai dan Bengaluru, manakala di bandar Patna di timur India, polis dilaporkan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang turut mendesak Pradhan meletakkan jawatan.

Polis menahan seorang penyokong gerakan CJP ketika protes menuntut peletakan jawatan Pradhan, di Ahmedabad.
Polis menahan seorang penyokong gerakan CJP ketika protes menuntut peletakan jawatan Pradhan, di Ahmedabad.

Gerakan itu mendapat sokongan lebih besar selepas parti-parti pembangkang menyatakan pendirian menyebelahi pelajar dan mengadakan bantahan duduk di luar kediaman rasmi Modi pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin Parti Kongres, Rahul Gandhi, yang sempat ditahan polis ketika menyertai protes itu, tampil di Parlimen pada Rabu dengan berpakaian serba hitam sebagai tanda solidariti terhadap pelajar.

Beliau turut menggesa kerajaan memohon maaf atas tindakan keras polis ketika menyuraikan demonstrasi besar-besaran pada Isnin.

“Kami akan memastikan anda semua dilindungi dan masa depan anda turut dipertahankan,” katanya kepada kumpulan pelajar.

Tuntut perubahan sistem

Gerakan CJP muncul pada Mei lalu sebagai sindiran terhadap kenyataan Ketua Hakim Negara India, Surya Kant yang didakwa menyamakan golongan muda dengan 'lipas' dan 'parasit' ketika prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, gerakan itu kemudian berkembang menjadi platform yang memperjuangkan pelbagai isu termasuk pengangguran, peluang pekerjaan untuk golongan muda serta kritikan terhadap gaya pentadbiran Modi yang disifatkan semakin autoritarian.

Polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Patna.
Polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Patna.

Pada Isnin, polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan yang cuba berarak menuju ke bangunan Parlimen sempena pembukaan sidang musim tengkujuh.

Ketika keadaan menjadi tegang, sebahagian penunjuk perasaan bertindak membaling batu ke arah anggota keselamatan.

Seorang pelajar berusia 20 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kavya berkata, dia tetap akan meneruskan bantahan walaupun bimbang selepas menyaksikan keganasan polis.

“Saya takut kerana melihat polis memukul orang ramai pada Isnin, tetapi kami tiada pilihan selain meneruskan perjuangan ini.

“Jika kami berhenti sekarang, amat sukar untuk menggerakkan semula bantahan ini,” katanya.

Penyokong CJP memegang plakad ketika protes menuntut peletakan jawatan Pradhan, di Jantar Mantar, New Delhi.
Penyokong CJP memegang plakad ketika protes menuntut peletakan jawatan Pradhan, di Jantar Mantar, New Delhi.

Skandal peperiksaan cetus kemarahan

Gelombang bantahan tercetus susulan beberapa kontroversi membabitkan sistem peperiksaan di India.

Antaranya ialah kebocoran kertas peperiksaan kemasukan ke sekolah perubatan yang memaksa lebih dua juta calon menduduki semula peperiksaan tersebut.

Selain itu, pertikaian berhubung sistem pemarkahan peperiksaan dalam talian yang melibatkan hampir dua juta pelajar sekolah menengah turut mencetuskan kemarahan rakyat.-AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!