Sindiket antarabangsa tipu warga Jepun tumpas

Adzli menunjukkan gambar operasi serbuan yang dilakukan terhadap sindiket penipuan di Taman Perindustrian Ringan Kristal di Alor Setar pada sidang akhbar di IPK Kedah, pada Khamis.
Adzli menunjukkan gambar operasi serbuan yang dilakukan terhadap sindiket penipuan di Taman Perindustrian Ringan Kristal di Alor Setar pada sidang akhbar di IPK Kedah, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian menyasarkan mangsa di Jepun selepas menyerbu sebuah bangunan kedai yang dijadikan pusat operasi ‘calling centre’ di Taman Perindustrian Ringan Kristal di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan tujuh lelaki warga China berusia antara 21 hingga 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan di premis terbabit membawa kepada rampasan 58 peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan.

Menurutnya, keseluruhan rampasan termasuk 34 telefon bimbit, enam komputer riba serta pelbagai peralatan komputer dan rangkaian internet dianggarkan bernilai RM50,000.

“Permohonan reman terhadap semua suspek telah dibenarkan Mahkamah Majistret Alor Setar selama empat hari bermula 21 hingga 24 Julai bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak pertengahan Jun lalu dengan menjadikan warga Jepun sebagai sasaran utama penipuan.

Menurutnya, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi LINE dan Langmate untuk mewujudkan akaun palsu serta menyamar menggunakan identiti tidak benar bagi memperdaya mangsa.

“Hasil semakan terhadap data yang ditemui dalam komputer yang dirampas mendapati sekurang-kurangnya 19 warga Jepun dikenal pasti menjadi mangsa sindiket ini,” ujarnya.

Menurut Adzli, semua ahli sindiket direkrut di negara asal mereka melalui tawaran pekerjaan luar negara yang diiklankan menerusi aplikasi Douyin, sebelum dibawa masuk ke Malaysia dengan tiket penerbangan yang disediakan sindiket.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setiap individu dijanjikan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 bergantung kepada peranan masing-masing dalam operasi berkenaan.

“Siasatan mendapati setiap ahli mempunyai tugasan tertentu termasuk menyelia rekod mangsa, berkomunikasi dengan mangsa serta menguruskan maklumat kewangan menggunakan platform aplikasi yang digunakan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakat jahat jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!