Datuk bandar Mexico maut ditembak

ISTANBUL - Seorang datuk bandar di Mexico maut ditembak di sebuah dewan bandar pada Rabu selepas terselamat dalam cubaan membunuh beberapa bulan lepas, menurut pihak berkuasa, lapor Anadolu Ajansi yang memetik CBS News.
Kejadian berlaku di Temoac, sebuah bandar di negeri Morelos berhampiran Bandaraya Mexico, kawasan yang menjadi lokasi operasi beberapa kartel dadah.
Datuk Bandar Temoac Valentin Lavin, yang bersekutu dengan parti berhaluan kiri pimpinan Presiden Claudia Sheinbaum, sebelum ini terselamat dalam serangan bersenjata pada Januari.
Menurut pejabat pendakwa raya negeri, pasukan penyiasat forensik dan polis menemukan mayat Lavin di dalam pejabat kerajaan perbandaran.
Pihak berkuasa memaklumkan operasi sedang dijalankan bagi menahan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.
Data rasmi menunjukkan hampir 100 datuk bandar di Mexico terbunuh sejak 2006, ketika keganasan berkaitan dadah mula meningkat.
Sejak pentadbiran semasa mengambil alih pemerintahan pada Oktober 2024, seramai 14 datuk bandar telah dibunuh, termasuk tiga kes yang direkodkan pada 2026. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
