Wanita hilang dua jari tersepit mesin kuih

MELAKA - Seorang wanita kehilangan dua jarinya selepas tersepit pada mesin membuat kuih dalam kejadian dirumahnya di Taman Nirwana, Batang Tiga di sini pada Khamis.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah pada jari manis dan jari tengah tangan akibat tersepit pada mesin berkenaan.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.19 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati tangan mangsa masih tersepit pada mesin membuat kuih.
“Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit kerana anggota bomba terpaksa membuka bahagian mesin terlebih dahulu sebelum berjaya mengeluarkan tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, operasi berjaya dikawal pada jam 12.02 tengah hari dan tamat sepenuhnya pada jam 12.11 tengah hari selepas pihak bomba memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

