Harimau bintang mengamuk dalam kedai arak, pekerja cedera diserang

Aksi berkenaan dirakam kamera keselamatan. - Agensi
Aksi berkenaan dirakam kamera keselamatan. - Agensi
A
A
A

JAIPUR – Seekor harimau bintang mencetuskan panik apabila memasuki sebuah kedai arak di Rajasthan, India sebelum mencederakan seorang pekerja dalam kejadian yang dirakam kamera keselamatan pada Isnin.

Kejadian berlaku di kawasan Toda Raisingh, daerah Tonk yang terletak kira-kira lapan jam perjalanan dari ibu negara India, New Delhi.

Menurut laporan media tempatan, haiwan berkenaan mula dikesan berkeliaran berhampiran kawasan semak di sekitar pasar selepas beberapa laporan mengenai pergerakan harimau bintang di kawasan hutan berhampiran diterima beberapa hari sebelum kejadian.

Haiwan itu kemudian menyerang seorang sukarelawan jabatan perhutanan yang cuba mendekati kawasan berkenaan untuk menilai keadaan.

Selepas itu, harimau bintang berkenaan bergerak kira-kira setengah kilometer sebelum memasuki sebuah kedai arak berhampiran.

Di dalam premis itu, haiwan terbabit menyerang seorang pekerja kontrak yang berada berhampiran kaunter sebelum menerkam seorang jurujual berusia 25 tahun, Sanjay Gurjar.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan harimau bintang itu melompat ke arah Gurjar sebelum mencederakannya pada bahagian muka, dada dan bahu.

Bagaimanapun, Gurjar berjaya melepaskan diri sebelum dia bersama seorang lagi pekerja berlari keluar dari kedai berkenaan.

Mereka kemudian segera menurunkan pintu besi kedai, menyebabkan haiwan itu terperangkap di dalam premis bersama botol-botol arak dan menghalangnya daripada kembali ke kawasan awam.

Artikel Berkaitan:

Pasukan hidupan liar dari Jaipur tiba di lokasi dan berjaya menenangkan harimau bintang tersebut menggunakan ubat pelali kira-kira jam 2 petang selepas lebih lima jam keadaan cemas berlaku.

Sukarelawan perhutanan yang cedera menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang, manakala dua pekerja kedai dihantar ke Jaipur untuk rawatan lanjut.

Menurut laporan Times of India, harimau bintang itu berjaya diselamatkan dan akan dilepaskan semula ke habitat yang sesuai.

Video kejadian itu turut tular di media sosial dengan sebahagian pengguna menganggap kejadian itu menghiburkan, namun majoriti melahirkan rasa lega kerana tiada kematian berlaku melibatkan manusia mahupun haiwan tersebut.

Sebahagian pengguna turut mengaitkan peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan kehilangan habitat semula jadi akibat penerokaan hutan.

Mereka berkata, penyusutan kawasan hutan menyebabkan haiwan seperti harimau bintang semakin sukar mencari perlindungan dan sumber makanan, sekali gus meningkatkan risiko pertembungan dengan manusia.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!