Lima anggota renjer Thailand maut diserang di Narathiwat

NARATHIWAT – Lima anggota renjer Thailand terbunuh manakala dua orang awam, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, cedera dalam serangan bersenjata di sebuah pos kawalan keselamatan di wilayah bergolak Narathiwat pada Rabu.
Menurut laporan awal, serangan berlaku kira-kira jam 7 malam waktu tempatan di pos kawalan Buketa Sami, daerah Tanyong Mat, Ra-ngae yang dikendalikan Kompeni Renjer 4509.
Enam lelaki berpakaian serba hitam dipercayai tiba di lokasi dengan menaiki sebuah pikap Nissan empat pintu berwarna hitam sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi dan membaling beberapa bom paip ke arah anggota yang sedang bertugas.
Lima anggota renjer yang berada di pos kawalan itu disahkan maut di lokasi kejadian.
Dua orang awam turut cedera dalam serangan tersebut, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kenderaan yang dinaiki enam suspek beberapa saat sebelum serangan dilancarkan.
Selepas melakukan serangan, kumpulan terbabit melarikan diri menggunakan pikap yang sama melalui Lebuhraya 4055 dari Tanyong Mat menuju ke daerah kecil Dusong Yo.
Pasukan keselamatan kemudian mengepung kawasan kejadian bagi menjalankan pemeriksaan forensik serta mengumpulkan bahan bukti, manakala siasatan bagi mengenal pasti dalang serangan sedang diteruskan.
Wilayah Narathiwat merupakan antara tiga wilayah di selatan Thailand yang berdepan konflik pemisah sejak lebih dua dekad lalu, dengan serangan terhadap anggota keselamatan masih berlaku dari semasa ke semasa.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

