Bila Sungai Perak bertukar biru

KEJADIAN aliran Sungai Perak di Kampung Bukit Amarikan, Gerik yang sekali lagi dilaporkan bertukar warna kebiruan menimbulkan persoalan besar mengenai tahap kawalan pencemaran serta keberkesanan pemantauan berterusan di kawasan Hulu Perak.
Insiden terbaharu ini yang dilaporkan minggu lalu bukanlah kes terpencil, sebaliknya mengulangi kejadian hampir sama yang tular pada Oktober tahun lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki dan kehidupan harian.
Lebih membimbangkan, fenomena tersebut berlaku di lokasi sama, menunjukkan kemungkinan wujud faktor berulang yang masih belum dikenal pasti sepenuhnya atau belum ditangani secara menyeluruh.
Berdasarkan laporan terkini, Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Perak telah mengambil sampel air di beberapa lokasi termasuk Dataran Loma, Sungai Rui, dengan keputusan analisis penuh dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.
Walaupun siasatan awal JMG mendapati tiada kaitan langsung dengan aktiviti perlombongan aktif di kawasan berhampiran, penjelasan tersebut belum dapat meyakinkan memandangkan sejarah pencemaran sebelum ini.
Pada Oktober tahun lalu, perubahan warna air Sungai Perak disahkan akibat dipengaruhi kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu berpunca daripada aktiviti perlombongan.
Pengesahan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) membawa kepada tindakan penggantungan operasi terhadap tiga syarikat berkaitan.
Walaupun syarikat terbabit dibenar beroperasi semula pada Januari selepas siasatan lengkap, kejadian berulang ini menimbulkan persoalan sama ada langkah pemulihan dan pematuhan yang dikenakan benar-benar mencukupi.
JMG bagaimanapun tidak menolak kemungkinan faktor semula jadi seperti hakisan akibat hujan lebat serta aktiviti di kawasan pembukaan ladang dan pembalakan di luar pajakan lombong sebagai penyumbang kepada perubahan warna air.
Selain itu, kewujudan sedimen lama hasil aktiviti perlombongan terdahulu yang kini sedang dibersihkan turut dikenal pasti sebagai antara punca berpotensi.
Hakikat bahawa sedimen tersebut boleh kembali mengalir ke dalam sungai akibat hujan menunjukkan risiko pencemaran sekunder yang sering dipandang ringan.
Dalam konteks ini, walaupun tiada limpahan langsung dari lombong aktif, kesan legasi perlombongan masih berupaya mencemarkan sungai jika tidak diurus secara sistematik dan terkawal.
Dari sudut komuniti, kesan kejadian ini jelas dirasai, khususnya dalam kalangan nelayan darat yang melaporkan kematian ikan secara besar-besaran setiap kali fenomena berlaku.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan, malah menimbulkan risiko kesihatan kepada penduduk yang menggunakan sumber air sungai.
Lebih signifikan, dakwaan bahawa kejadian ini telah berulang sejak belasan tahun lalu memberi gambaran bahawa isu ini bersifat kronik dan memerlukan pendekatan jangka panjang, bukan sekadar tindakan reaktif.
Fenomena air bertukar kebiruan yang kembali normal dalam tempoh singkat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meremehkan kesan jangka panjang terhadap ekosistem sungai.
Sebaliknya, ia menunjukkan kemungkinan kehadiran bahan tertentu yang larut atau tersebar dengan cepat, tetapi tetap memberi kesan toksik kepada hidupan akuatik.
Dalam hal ini, kebergantungan kepada analisis makmal semata-mata tanpa pemantauan masa nyata boleh melambatkan tindakan intervensi awal.
Kerajaan negeri dan agensi berkaitan perlu mempertimbangkan penggunaan sistem pemantauan kualiti air secara berterusan bagi mengesan perubahan luar biasa dengan lebih pantas.
Selain itu, audit menyeluruh terhadap semua aktiviti di kawasan Hulu Perak termasuk pembalakan, pertanian dan kerja pembersihan sedimen perlu dilaksanakan secara bersepadu.
Pendekatan ini penting bagi memastikan semua punca berpotensi, sama ada langsung atau tidak langsung, dapat dikenal pasti dan dikawal.
Penguatkuasaan juga perlu diperketatkan, khususnya terhadap aktiviti di luar pajakan lombong yang sering terlepas daripada pengawasan ketat.
Dalam masa sama, komunikasi risiko kepada penduduk setempat perlu dipertingkat supaya mereka lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan berkaitan pencemaran air.
Dalam situasi ini, kejadian berulang Sungai Perak bertukar biru bukan sekadar isu perubahan fizikal air, tetapi mencerminkan cabaran lebih besar dalam pengurusan alam sekitar yang memerlukan tindakan menyeluruh, telus dan berterusan.
*Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

