Jangan jadi ketam ajar anak berjalan lurus

Penjawat awam yang memilih untuk bersekongkol dengan kegiatan haram sebenarnya sedang mengkhianati amanah awam. Imej janaan AI
Penjawat awam yang memilih untuk bersekongkol dengan kegiatan haram sebenarnya sedang mengkhianati amanah awam. Imej janaan AI
A
A
A

TIADA lagi ruang untuk mana-mana penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa demi mengaut kekayaan peribadi dengan memijak hak dan peluang orang lain.

Golongan seperti ini wajar dianggap sebagai pengkhianat amanah awam. Mereka bukan sahaja mencemarkan integriti perkhidmatan kerajaan, malah sanggup mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain demi mengisi poket sendiri.

Ada antara mereka yang menggunakan kedudukan untuk membuka ruang kepada pelbagai aktiviti yang melanggar undang-undang.

Hakikatnya, perbuatan tersebut bukan sekadar salah di sisi undang-undang, bahkan boleh diibaratkan sebagai menjual maruah serta kedaulatan negara demi kepentingan peribadi.

Tanggungjawab penjawat awam adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan memastikan undang-undang dihormati. Namun, apabila ada yang memilih untuk bersekongkol dengan kegiatan haram, mereka sebenarnya sedang mengkhianati amanah diberikan.

Saban hari media melaporkan tangkapan, serbuan dan pendakwaan membabitkan pelbagai sindiket serta pihak yang terlibat.

Malangnya, pendedahan demi pendedahan itu masih belum cukup untuk menimbulkan rasa gerun. Mereka hanya menukar modus operandi apabila taktik lama berjaya dihidu pihak berkuasa.

Hakikatnya kekayaan yang dibina melalui jalan salah tidak pernah menjanjikan ketenangan yang berkekalan.

Justeru, ketua jabatan dan ketua unit perlu bertindak lebih tegas terhadap mana-mana pegawai yang menimbulkan keraguan dari segi integriti dan tata kelola.

Artikel Berkaitan:

Sistem, prosedur serta mekanisme pemantauan perlu sentiasa ditambah baik agar ruang penyelewengan dapat ditutup.

Dalam masa sama, ketua tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Jangan jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus, sedangkan dirinya sendiri menjadi mastermind kepada kerja-kerja kotor.

Ingatlah, negara ini bukan warisan milik kita seorang. Ia hanyalah pinjaman yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Apabila kita tiada nanti, merekalah yang akan menanggung akibat daripada setiap amanah yang kita khianati hari ini.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!