Majikan degil, negara menanggung

ISU kebanjiran warga asing di negara ini bukan lagi baharu, malah fenomena itu semakin membimbangkan apabila kehadiran mereka tidak lagi tertumpu kepada sektor yang dibenarkan seperti pembinaan, perladangan dan pembuatan.
Sebaliknya, warga asing kini dilihat semakin meluas mengisi pelbagai sektor perkhidmatan termasuk kedai runcit, kedai makan, restoran serta premis perniagaan lain.
Perubahan landskap ini menimbulkan persoalan sama ada masih wujud sikap sambil lewa segelintir majikan yang lebih mengutamakan keuntungan dengan menggaji pekerja asing secara tidak sah atas alasan mahu mengurangkan kos operasi.
Hakikatnya, tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan yang terpaksa bersaing dalam sektor yang sebelum ini didominasi tenaga kerja tempatan.
Dalam keadaan pasaran pekerjaan semakin kompetitif, amalan menggaji pekerja asing secara tidak sah hanya memburukkan keadaan serta menjejaskan usaha kerajaan memperkasakan tenaga kerja tempatan.
Justeru, cadangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengkaji semula kadar kompaun maksimum RM10,000 terhadap majikan yang menggaji pekerja asing secara tidak sah wajar dipandang serius.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban sebelum ini mendedahkan masih terdapat majikan yang tidak serik melakukan kesalahan itu walaupun operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan.
Atas sebab itu, cadangan menyemak semula kadar kompaun merupakan langkah berani yang wajar disokong. Jika penalti sedia ada tidak lagi menggerunkan pesalah, sudah tiba masanya pendekatan lebih tegas dilaksanakan bagi memastikan kesalahan sama tidak terus berulang.
Hakikatnya, kebanjiran warga asing tidak berlaku tanpa faktor penarik. Permintaan berterusan daripada segelintir majikan tempatan menjadi antara penyumbang utama kepada masalah yang berlarutan sekian lama.
Lebih membimbangkan beberapa kawasan seperti Jalan Silang di Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang sudah lama dikaitkan kehadiran warga asing dalam jumlah besar sehingga mencetuskan persepsi seolah-olah kawasan itu dikuasai mereka.
Walaupun pelbagai operasi dijalankan dari semasa ke semasa, masalah itu terus berulang kerana permintaan terhadap tenaga kerja asing tanpa dokumen tidak pernah putus.
Sepanjang tempoh lalu, JIM tidak berhenti melaksanakan operasi berskala besar menerusi siri serbuan di premis perniagaan, tapak pembinaan, penempatan pekerja dan lokasi tumpuan warga asing.
Ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi berkenaan.
Namun, jumlah tangkapan tinggi membuktikan masalah ini masih jauh daripada selesai. Jelas, penguatkuasaan semata-mata tidak memadai jika masih ada pihak sanggup melindungi atau menggaji pekerja asing secara tidak sah.
Pada masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak menyokong perniagaan yang beroperasi secara menyalahi undang-undang kerana tindakan itu hanya akan mewujudkan permintaan berterusan terhadap pekerja asing tanpa dokumen.
Isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan lebih tegas, hukuman lebih berat terhadap majikan yang ingkar serta kesedaran masyarakat agar tidak terus menjadi penyumbang kepada kitaran sama.
Selagi masih ada pihak yang meletakkan keuntungan mengatasi tanggungjawab terhadap negara, selagi itulah isu kebanjiran PATI akan terus menghantui Malaysia.
Langkah JIM memperketat tindakan terhadap majikan bukan sekadar usaha menguatkuasakan undang-undang, sebaliknya menjadi peringatan setiap pihak mesti memikul tanggungjawab bersama dalam menangani masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama.
*Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

