KKR sedia kemudahan kewangan bantu kontraktor tempatan

SHAH ALAM – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan beberapa kemudahan kewangan bagi membantu aliran tunai kontraktor pembinaan tempatan, khususnya kontraktor Gred G1 hingga G4 yang terkesan susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
KKR berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan kelangsungan operasi kontraktor, selain melindungi daya tahan industri pembinaan negara agar projek pembangunan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.
Menurut kementerian itu, antara kemudahan kewangan yang boleh dimanfaatkan kontraktor termasuk Skim CAKNA 1 dan CAKNA 2 serta Stabilisation Relief Fund (SRF) yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Kontraktor juga boleh memohon Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) yang ditawarkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Selain itu, mereka turut boleh memohon Skim Pembiayaan Kontrak-i di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional,” kata kementerian tersebut menerusi satu hebahan rasmi pada Ahad.
KKR berkata, kerajaan komited untuk memastikan tiada projek pembangunan rakyat yang tergendala.
“Kontraktor disaran memanfaatkan kemudahan ini demi mengekalkan daya saing serta kualiti penyampaian projek masing-masing,” menurut kementerian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

