Isu tuntutan bertindih, Malaysia akan pasang radar di Pulau Layang-Layang

KUALA PILAH - Malaysia akan memasang sistem radar di Pulau Layang-Layang bagi memperkukuh keupayaan pemantauan di Laut China Selatan susulan pertikaian tuntutan bertindih melibatkan beberapa negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan keselamatan wilayah negara sentiasa terpelihara.
"Dari segi ancaman keselamatan, seperti yang kita sedia maklum, kita telah mengukuhkan kedudukan kita di Pulau Layang-Layang.
"Kita juga akan memasang radar di kawasan itu supaya kita mempunyai keupayaan melakukan pemantauan yang lebih kukuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Malaysia menghantar nota diplomatik berikutan dakwaan sebuah negara bahawa sebahagian kawasan dalam wilayah Malaysia adalah milik mereka.
Tanpa menyebut nama negara terbabit, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan dakwaan itu tidak berasas kerana penduduk wilayah berkenaan sudah membuat referendum yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Laut China Selatan sememangnya merupakan kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih membabitkan beberapa negara termasuk China, Vietnam dan Filipina.
"Soal bantahan-bantahan itu perlu dilakukan untuk menunjukkan bahawa bantahan itu sentiasa kita hidupkan.
"Kita tidak boleh membiarkan apa-apa kenyataan atau dakwaan berlalu begitu sahaja tanpa menunjukkan pendirian tegas Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

