LRK 2026 buru 60 pemain muda

Mohammed Taufiq
Mohammed Taufiq
A
A
A

SERAMAI 60 pemain muda disasarkan untuk dikenal pasti menerusi Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 sebagai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) dalam usaha melahirkan pelapis baharu bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sasaran itu akan dicapai menerusi proses pencarian bakat oleh pasukan pencari bakat sepanjang kejohanan berlangsung sehingga November depan.

Menurutnya, pemain yang dikenal pasti akan dinilai berdasarkan aspek teknikal bagi memastikan mereka memenuhi spesifikasi ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum diserap ke dalam sistem pembangunan bola sepak negara.

“Kita ada jumlah minimum yang ditetapkan sebab itu kita ada pasukan pencari bakat untuk memastikan jumlah tertentu yang boleh kita dapatkan sehingga ke penghujung.

“Pasukan pencari bakat ini bersama FAM akan menggunakan segala bentuk penilaian dari segi teknikal dan sebagainya berdasarkan spesifikasi sesuai dengan apa yang FAM telah tetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas majlis perasmian LRK 2026 di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang di sini pada Ahad.

LRK 2026 merupakan pertandingan hasil kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan FAM bertujuan membentuk pemain berkualiti untuk masa depan bola sepak Malaysia.

Liga berkenaan menghimpunkan pemain bawah 12, bawah 15 dan bawah 16 tahun dari seluruh negara bagi mencungkil bakat baharu secara lebih sistematik.

Kesemua perlawanan berlangsung di AMD, Gambang setiap hujung minggu bermula 6 Jun lalu dan dijadual berakhir pada 8 November depan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq berkata, LRK 2026 menjadi platform pembangunan akar umbi bagi mengenal pasti bakat berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, matlamat utama liga ini adalah untuk kita melahirkan lebih ramai lagi atlet di peringkat akar umbi.

“Sepanjang liga berlangsung, kita mengenal pasti pemain yang boleh kita ketengahkan, angkat dengan lebih jauh dan dimasukkan dalam sistem.

“Pada akhirnya matlamat kita adalah pemain-pemain ini dapat dijadikan sebagai atlet yang mewakili negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM18 juta bagi pelaksanaan NFDP tahun ini yang meliputi kos teknikal, sains sukan, jurulatih, kelab, atlet serta penganjuran liga.

Menurutnya, KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama dengan FAM bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan bola sepak negara dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.

“FAM akan menjaga bahagian-bahagian teknikal, teknikal permainan, atlet dan sebagainya.

“KBS melalui MSN akan menjaga dari segi fasiliti dan juga program-program yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan pemain muda turut memerlukan pendedahan lebih luas termasuk di peringkat antarabangsa bagi membantu meningkatkan pengalaman serta kualiti permainan mereka.

“Yang paling penting sekali adalah bagaimana atlet-atlet ini mendapat pendedahan awal supaya mereka dapat bermain dengan lebih baik lagi.

“Itu yang sedang kita usahakan sekarang ini untuk menambahkan pendedahan secara antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha membawa pemain beraksi di peringkat antarabangsa memerlukan kos yang tinggi.

Justeru kementerian sedang meneliti jumlah pendedahan optimum diperlukan bagi memastikan pembangunan pemain dapat dilaksanakan secara berkesan.

Menurutnya, usaha memperkukuhkan pembangunan akar umbi itu juga adalah sebahagian daripada langkah mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara seperti era legenda Allahyarham Mokhtar Dahari.

“Yang paling penting sekarang adalah kita mengenal pasti permasalahan ataupun apa-apa juga perkara yang boleh kita tambah baik dalam bidang bola sepak negara.

“Kita nak mengembalikan semula semangat Mokhtar Dahari, yang mana merupakan seorang legenda hebat, satu ketika dahulu menjadi figura penting mewakili negara sehingga Malaysia terkenal sebagai Harimau yang mengaum dan menggerunkan di peringkat Asia,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!