Percaturan yang bakal mengundang padah kepada PKR?

KEPUTUSAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, selepas beliau sebelum ini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat dan menerajui pentadbiran Negeri Sembilan jelas satu keputusan silap dari sudut strategi pilihan raya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023, Aminuddin memenangi Sikamat atas tiket PKR dengan 12,730 undi dan majoriti 2,662 undi. Linggi pula dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli, dengan 7,832 undi dan majoriti 1,461 undi. Dalam PRN kali ini, Aminuddin dipindahkan ke Linggi manakala Sikamat diserahkan kepada Nor Azman Mohamad.
Secara teknikal, pertukaran kerusi dalam sebuah gabungan bukan sesuatu yang luar biasa. Ia mungkin dilakukan atas pertimbangan komposisi pengundi atau rundingan sesama pimpinan. Namun begitu, persoalan yang lebih besar ialah mengapa PKR sanggup melepaskan kerusi yang telah terbukti selamat untuk Menteri Besarnya lalu menempatkan beliau di kerusi milik BN yang kedudukannya lebih tidak menentu.
Aminuddin bukan sekadar calon biasa. Beliau ialah wajah pentadbiran kerajaan negeri dan aset paling penting PKR di Negeri Sembilan. Meletakkannya di Linggi boleh ditafsirkan sebagai usaha memperluas pengaruh PKR atau membantu PH merampas kerusi berkenaan. Namun begitu, ia juga mendedahkan tokoh utama parti kepada risiko yang sebenarnya tidak perlu.
Jika Aminuddin tewas di Linggi, kesannya bukan sahaja kehilangan satu kerusi. Kekalahan itu akan memberikan gambaran bahawa pengundi menolak kepimpinannya, sekali gus melemahkan naratif keberhasilan pentadbiran negeri yang cuba dibawa oleh Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, mengekalkan Aminuddin di Sikamat membolehkan PKR mempertahankan sebuah kerusi yang telah mempunyai jaringan, rekod perkhidmatan dan hubungan pengundi yang dibina sepanjang beberapa penggal.
Nor Azman memang mempunyai pengalaman sebagai pendidik dan Setiausaha Politik kepada Aminuddin. Beliau juga membawa pengalaman pentadbiran serta pengetahuan mengenai isu rakyat.
Namun begitu, pengalaman sebagai pegawai politik tidak semestinya terus diterjemahkan kepada kekuatan pilihan raya. Beliau kini perlu membina jenama sendiri, menyatukan jentera tempatan dan mempertahankan kerusi yang selama ini sangat dikaitkan dengan Aminuddin.
Lebih membimbangkan ialah pemilihan sejumlah calon PKR yang kalah dalam pemilihan dalaman parti pada 2025. Sekurang-kurangnya enam calon PRN PKR adalah calon yang tewas dalam pertandingan jawatan cabang masing-masing.
Siti Aishah Seman @ Othman, calon Gemas, kalah dalam pertandingan Ketua Cabang Tampin dengan memperoleh 41.52 peratus undi. Datuk Muhammad Nazri Kassim, calon Ampangan, tewas dalam pertandingan Ketua Cabang Seremban dengan 47.91 peratus undi. Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, calon Labu pula hanya memperoleh 35.10 peratus dalam pertandingan Ketua Cabang Rasah.
Di Kuala Pilah pula, Mohd Aidil Abdullah tewas dalam pertandingan Ketua Cabang dengan 46.04 peratus undi, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa kalah dalam pertandingan Timbalan Ketua Cabang dengan 36.49 peratus manakala Datuk Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim memperoleh hanya 37.05 peratus dalam pertandingan Ketua Wanita Cabang.
Kekalahan dalam pemilihan parti tidak semestinya bermaksud seseorang itu tidak layak menjadi calon pilihan raya. Pemilihan dalaman dan pilihan raya umum mempunyai corak pengundi yang berbeza. Ada calon yang mungkin kurang kuat dalam kalangan anggota parti tetapi lebih diterima masyarakat umum.
Walaupun begitu, apabila terlalu ramai individu yang gagal mendapat mandat anggota sendiri diberikan tiket pilihan raya, ia menimbulkan persoalan mengenai ketekalan PKR dalam menghormati proses demokrasi dalaman.
Apakah pemilihan parti sekadar pertandingan organisasi tanpa kaitan dengan penentuan calon? Apakah calon dipilih berdasarkan kekuatan akar umbi, atau kerana hubungan dengan kelompok kepimpinan tertentu?
Persoalan ini penting kerana jentera parti ialah tulang belakang kempen. Individu yang memenangi pemilihan cabang lazimnya mempunyai rangkaian anggota, pengaruh tempatan dan kemampuan menggerakkan sukarelawan.
Apabila mereka diketepikan dan calon yang mereka kalahkan pula tidak dipilih, penyokong mungkin menjadi pasif, memboikot secara senyap atau sekadar menjalankan kempen secara minimum.
PKR tidak memasuki PRN ini dalam keadaan semua kerusinya selamat. Sebahagian calonnya ditempatkan di kawasan yang dimenangi BN atau PN pada 2023. Seri Menanti, Kota, Palong dan Sungai Lui merupakan kerusi BN dengan majoriti masing-masing hanya 370, 135, 564 dan 535 undi. Ini ialah kerusi marginal yang boleh dimenangi, tetapi hanya dengan jentera yang bersatu, calon yang diterima dan pemindahan undi gabungan yang benar-benar berkesan.
PKR juga menghantar calon muda seperti Danish Nazran Murad ke Chembong, sebuah kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti 4,335 undi pada 2023. Danish mempunyai imej kemanusiaan dan mahu membawa suara anak muda, tetapi beliau sendiri mengakui berhadapan penyandang yang kuat.
Di Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi pula berhadapan Datuk Seri Mohamad Hasan, tokoh heavyweight BN yang mempertahankan kawasan itu sejak 2004. Ini menunjukkan PKR sudah pun mengambil risiko besar di beberapa kawasan.
Dalam keadaan sedemikian, parti sepatutnya mengurangkan risiko dalaman, bukannya menambahnya melalui pertukaran kerusi Menteri Besar dan pemilihan calon yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati anggota.
Sekiranya PKR gagal mengekalkan Sikamat, gagal merampas Linggi dan kehilangan beberapa kerusi marginal akibat jentera yang tidak bersatu, pertukaran ini akan dikenang bukan sebagai langkah berani, tetapi sebagai kesilapan percaturan.
PKR perlu menjelaskan mengapa kemenangan dalam pemilihan dalaman tidak menjadi pertimbangan utama dan apakah justifikasi sebenar memindahkan tokoh terpentingnya daripada kerusi yang telah terbukti kukuh.
Pilihan raya tidak hanya dimenangi melalui nama besar atau arahan kepimpinan pusat. Ia dimenangi melalui penerimaan pengundi, kesatuan jentera dan keyakinan anggota bahawa suara mereka dihormati. Dalam ketiga-tiga perkara ini, keputusan PKR kali ini meninggalkan terlalu banyak persoalan.
*Muhammad Afifi Abdul razak ialah penganalisis politik tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

