Teori Domino harapan umat Melayu

Abd Razak dan Mohd Asri merupakan arkitek yang mendekatkan kembali tenaga Melayu dalam membentuk Barisan Nasional.
Abd Razak dan Mohd Asri merupakan arkitek yang mendekatkan kembali tenaga Melayu dalam membentuk Barisan Nasional.
A
A
A

TEORI Domino adalah cetusan pemikiran Dwight D. Eisenhower, seorang bekas 'jeneral lima bintang' yang menjadi Presiden Amerika ke-34 (Januari 1953-Januari 1961). Beliau melemparkan idea itu semasa sidang akhbar pada 7 April 1954.

Beliau mempercayai, sekiranya sebuah negara di Asia Tenggara jatuh kepada komunis, maka negara sekitarnya turut tumbang lantas dikuasai ideologi tersebut. Baginya, negara jiran itu akan jatuh satu demi satu persis deretan buah domino yang terbarai.

Eisenhower melepaskan kebimbangannya ketika Perang Dingin yang mungkin disandarkan kepada melebarnya pengaruh komunis di masa itu. China di bawah kepimpinan Mao Zedong (Mao Tse-tung) telah mengisytiharkan People’s Republic of China secara rasmi di Dataran Tiananmen, Beijing pada 1 Oktober 1949.

Selepas Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945, Korea Utara dikuasai oleh tentera Soviet Russia dengan membantu Kim Il Sung memimpin Korea Utara.

Pada September 1948, Negara Democratic People’s Republic of Korea (Korea Utara) diisytiharkan dengan Kim Il Sung menjadi perdana menteri, manakala Democratic Republic of Vietnam (Vietnam Utara) diistiharkan di Hanoi pada 2 September 1945 oleh Ho Chi Minh selepas Jepun menyerah kalah.

Barangkali atas kebimbangan yang mendalam itulah Eisenhower melemparkan Teori Domino. Beliau bimbangkan negara Asia Tenggara jatuh ke ideologi komunis. Kemaraan komunisme terhenti selepas Vietnam Selatan (30 April 1975), Kemboja (17 April 1975) dan Laos (2 Disember 1975).

Eisenhower merasa bimbang lantas meluahkan Teori Domino. Sebaliknya, umat Melayu di masa ini mahu meminjam teori tersebut supaya terpakai kepada penyatuan ummah.

Majoriti umat Melayu mengharapkan kerjasama pilihan raya antara UMNO-Pas atau BN-PN tidak terhenti setakat Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Sebaliknya kerjasama itu berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.

Ramai yang mendoakan supaya bentuk Muafakat Nasional kembali mewarnai politik umat Melayu. Malah ramai yang percaya, Barisan Nasional 2 akan terjelma dalam masa akan datang demi kepentingan umat Melayu dan Islam.

Artikel Berkaitan:

Siapa arkiteknya?

Kalau Muafakat Nasional dan Barisan Nasional boleh dilahirkan dengan UMNO-Pas melupakan segala perbedaan serta kepedihan di masa lampau. Maka tiada sebab kali ini kepimpinan dua parti Melayu terbesar ini tidak mampu membentuk Pakatan Baharu demi mengembalikan ‘Teras Kuasa’ negara ini ke tangan Melayu. Perdana Menteri negara ini mesti di tangan Melayu dari sebuah parti Melayu.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas membuat penilaian terhadap persefahaman pilihan raya antara UMNO-Pas atau BN-PN di Negeri Sembilan sebagai "Dan ini menjadikannya sebagai satu senario politik baru di Malaysia.”

Ramai yang berharap supaya kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan sebagai permulaan kepada kejayaan yang lebih besar lagi murni. Semoga seperti pepatah Melayu - lulus jarum, lulus kelindan.

Persefahaman yang terjadi tentulah atas usaha antara dua pihak. Siapa arkiteknya?

UMNO adalah sebuah parti politik. Pas juga sebuah organisasi politik. Organisasi politik biasanya dicorakwarnakan oleh presiden parti. Maka jawapan mudah kepada pertanyaan tersebut ialah Presiden UMNO dan Presiden Pas.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah arkitek yang menjayakan permuafakatan ini. Mereka kembali melakukan apa yang pernah terhasil oleh dua pemimpin Melayu terdahulu iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan Tan Sri Mohd Asri Muda.

Abdul Razak dan Mohd Asri terpaksa melempar ego dan melupakan segala perbalahan yang lampau demi survival umat Melayu. Bungkusan kuasa Melayu telah dirobekkan semasa pilihan raya pada 10 Mei 1969. Peristiwa 13 Mei, kesan daripada kempen oleh DAP, Gerakan dan PPP yang banyak membangkitkan serta mencabar hak-hak orang Melayu, meluka serta menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Ramai yang percaya, kesan daripada kempen yang mencabar perasaan orang Melayu telah menjadi benih kepada perbalahan kaum. Perarakan kemenangan oleh DAP, Gerakan yang dilihat begitu melampau oleh orang Melayu telah menyalakan api perkauman. Kemuncaknya rusuhan kaum meletus pada 13 Mei 1969.

Negara diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) dari 16 Mei 1969 hingga 23 Februari 1971. Parlimen digantung sehingga tamat Mageran. Parlimen kembali bersidang pada 24 Februari 1971.

Tun Abdul Razak dan Tan Sri Mohd Asri, dapat merasakan bangsa Melayu terancam dengan kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Mereka merasakan, pemimpin-pemimpin Melayu tidak boleh membenarkan kejadian serta ancaman begitu berlanjutan. Jalan terbaik ialah penyatuan kepimpinan Melayu.

Demi menyelamatkan maruah Melayu, Abdul Razak dan Mohd Asri bersedia melakukan segala bentuk pengorbanan. Mereka menyedari bahawa kesejahteraan negara ini bergantung rapat pada perpaduan umat Melayu.

Maka, dua parti terbesar Melayu perlu duduk di bawah suatu bumbung. UMNO dan Pas perlu bersanding di satu pelamin.

Persetujuan antara Abdul Razak dan Mohd Asri dalam membentuk kerajaan campuran Pas-Perikatan berlaku pada September 1972. Maka pada 1 Januari 1973, kerajaan campuran Pas-Perikatan terbentuk secara sah di Kelantan dan diperingkat Persekutuan.

Kemuncaknya, pada 1 Jun 1974, Abdul Razak dan Mohd Asri bersama pemimpin lain telah membentuk Barisan Nasional (BN).

Sejak itu politik Malaysia sangat stabil lagi aman. Segala bentuk pergolakan terhenti buat seketika. Membuka ruang kepada kepimpinan negara mentadbir secara aman.

Hasil pemikiran Abdul Razak dan Mohd Asri bukan sahaja dapat menyelamatkan kuasa Melayu. Malah melalui BN yang kukuh lagi mantap, Abdul Razak telah berjaya mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Suatu dasar ekonomi yang bukan sahaja menguntungkan orang Melayu, malah untuk warga Malaysia seluruhnya.

Kemenangan besar UMNO melalui BN dalam siri pilihan raya bermula pada 24 Ogos 1974, membuka ruang kepada perdana menteri untuk membangunkan negara. Tun Dr Mahathir Mohammad yang mengambil alih kepimpinan negara pada 16 Julai 1981, berjaya meneruskan cita-cita Abd Razak untuk membangunkan Malaysia.

Dr Mahathir berhasil memandu negara selama 22 tahun dan berhenti ketika dipuncak kuasa. Lima pilihan raya di bawahnya, UMNO-BN menang dengan cemerlang.

Beliau telah mampu menukar negara ini dari negara pertanian kepada negara perindustrian. Malah banyak pembangunan terhasil di eranya. Dr Mahathir berjaya menempa Malaysia menjadi negara lebih maju lagi moden.

Negara membangun dengan pantas, sehingga terdapat jolokan beliau sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’.

Dr Mahathir bukan hanya jaguh kampung. Suaranya menujah telinga anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam sidang-sidang termasuk semasa UNGA.

Beliau lantang mengkritik ketidakadilan yang sering dilakukan oleh kuasa besar yang menindas. Mahathir begitu kritikal terhadap kuasa barat terutamanya Amerika Syarikat yang berterusan menyokong Israel menyembelih rakyat Palestin.

Kalau Eisenhower semasa sidang akhbarnya memuntahkan idea Teori Domino’ kerana kebimbangan akan terjadi, sebaliknya umat Melayu mendoakan supaya teori domino terjadi kepada perjuangan UMNO-Pas pada masa ini.

Malah diharapkan teori ini menjadi bebola yang meranapkan kuasa-kuasa PH di negeri-negeri Semenanjung. Kemudian meruntuhkan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Razak dan Mohd Asri menyedari kekuasaan Melayu terancam di era mereka. Ramai yang percaya, bahawa Ahmad Zahid dan Abdul Hadi juga merasai perkara yang sama. Mereka berdua melihat bagaimana telatah DAP di Dewan Rakyat dan di Dewan Undangan Negeri.

Bagaimana, ADUN DAP Seri Kembangan semasa berucap di Dewan Undangan Negeri Selangor boleh menggunakan perkataan, beliau dukacita terhadap ucapan Sultan Selangor semasa perasmian dewan yang menolak wujudnya kandang babi di Selangor.

Ahmad Zahid lebih tahu kerenah pemimpin DAP dalam Kabinet. Malah orang Melayu melihat pemimpin-peminpin DAP sudah seperti kadok naik junjung. Ahmad Zahid dan Abdul Hadi sedar bahawa kekuasaan Melayu serta masyarakat Melayu semakin terancam di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Terjadi Teori Domino

Warga Johor telah berjaya memukul lumat pengaruh PH di sana. Keputusan PH yang hanya mampu memenangi 8 DUN dari 56, tentunya telah melumatkan pengaruh dan semangat pendukung PH Johor.

Umum percaya Kerajaan PH Negeri Sembilan akan runtuh pada 1 Ogos ini. Keyakinan itu disandarkan kepada persefahaman pilihan raya antara UMNO-Pas atau BN-PN. Di Negeri Sembilan, kerjasama antara UMNO-Pas lebih jelas kalau dibandingkan semasa pilihan raya di Johor.

Pemain politik begitu yakin bahawa UMNO akan memenangi kesemua kerusi yang ditandingi iaitu 16 DUN, manakala Pas akan dapat mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRN 2023, malah berkemungkinan besar memenangi DUN Ampangan. Secara mudah UMNO-Pas sudah mampu membentuk kerajaan campuran dengan sekurang-kurangnya 19 DUN.

Selepas Negeri Sembilan, umat Melayu berdoa semoga kebijaksanaan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi menemui kaedah yang lebih sempurna semasa pilihan raya di Melaka.

Kalau pengumuman calon-calon untuk BN-PN buat Negeri Sembilan secara berasingan, apakah mungkin untuk pengumuman calon-calon bagi BN-PN Negeri Melaka dalam majlis yang sama.

Sekiranya hal seperti ini terjadi, maka dari awal lagi telah melemahkan siku lutut jentera PH. Kalau bersendirian BN Melaka telah menang sebanyak 21 DUN, semasa PRN 20 November 2021. Bersama Pas, mungkin keputusannya lebih baik.

Di sinilah diharapkan Teori Domino akan terjadi. Selepas Johor, Negeri Sembilan dan Melaka peranan Pas turut membantu kemenangan BN, maka diharapkan usaha membentuk kerajaan campuran akan berterusan.

Kerajaan campuran BN-PH di Pahang, boleh diruntuhkan dari dalam tanpa menunggu pilihan raya negeri. Begitu juga dengan kerajaan campuran BN-PH di Perak, juga boleh dirombak secara mudah.

Di Pahang, BN punyai 17 DUN, manakala Pas 17 DUN dan PH hanya 8 DUN. Kini Kerajaan Campuran di Pahang antara BN-PH hanya 25 DUN. Sekiranya BN-PN membentuk kerajaan campuran, terdapat 34 DUN iaitu lebih dari 2/3 di Dewan Undangan Pahang.

Selesai di Pahang, maka boleh diteruskan di Negeri Perak. Di Dewan Perak, PN memenangi 26 DUN, manakala PH terdapat 24 DUN dan BN hanya 9 DUN. Kerajaan campuran yang ada sekarang adalah antara BN-PH yang terdiri 33 ahli dewan.

Dengan mudah BN boleh membentuk kerajaan campuran di Perak dengan jumlah ahli dewan yang lebih ramai. Pembentukan kerajaan campuran BN-PN di Perak menjadikan ahli dewan seramai 35 orang.

Bila UMNO-Pas bersama dalam menyiapkan diri bagi menghadapi PRU16, tiada siapa yang mampu menafikan bahawa kesemua kerusi Parlimen majoriti Melayu 70 peratus ke atas dapat menyaingi kekuatan UMNO-Pas. Kawasan Parlimen majoriti Melayu 70 peratus hingga 99.9 peratus terdapat 86 kerusi di Semenanjung.

Kawasan majoriti 66 peratus hingga 69 peratus terdapat 10 kerus, manakala kawasan majoriti 60 peratus hingga 65 peratus terdapat 20 kerusi. Menjadikan 116 kerusi Parlimen.

Ramai yang percaya, bahawa UMNO-Pas mampu menyapu bersih kerusi-kerusi tersebut. Sudah cukup buat BN-PN membentuk kerajaan persekutuan dengan 116 ahli Parlimen. Apatah lagi Ahli Parlimen Sarawak di bawah PBB (Parti Bumiputera Bersatu) lebih cenderung menyokong UMNO berbanding PH.

Kesimpulannya, ahli UMNO-Pas bergantung kepada kebijaksanaan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi membentuk pakatan yang lebih jelas. Boleh dikembalikan gabungan tenaga seperti Muafakat Nasional. Atau lebih berkesan sepertimana dilakukan oleh Abd Razak dan Mohd Asri dalam membentuk Barisan Nasional.

Sebagai arkitek yang mendekatkan kembali tenaga Melayu di dalam UMNO-Pas, tentulah umat Melayu meletakkan kepercayaan kepada kedua-dua tokoh tersebut.

Umat Melayu mengharapkan persefahaman ini dapat mengembalikan ‘TERAS KUASA NEGARA KE TANGAN MELAYU”. Umat Melayu yang mahukan kuasa negara ini kembali ke tangan Melayu penuh berharap semoga Teori Domino dapat meruntuhkan kuasa dan pengaruh PH.

*Penulis ialah Pengerusi Iktisas Kepimpinan Kamarazaman dan seorang penganalisis politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!