SPRM buka bilik gerakan aduan rasuah PRN Negeri Sembilan

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, bilik gerakan ini akan beroperasi 24 jam mulai Sabtu (18 Julai) hingga 2 Ogos 2026 yang beralamat di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di Seremban.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang proses pilihan raya melalui emel kepada prn2026.n9@sprm.gov.my.

"Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi talian pejabat SPRM Negeri Sembilan di 06-762 5446, bilik gerakan 06-762 0207 atau talian 24 jam/WhatsApp di 011-3700 9038," katanya pada Jumaat.

Tambahnya, SPRM ingin mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong serta mana-mana pihak yang terlibat dalam PRN Negeri Sembilan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Jelasnya, ini selaras dengan peruntukan Akta SPRM 2009 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Media sebelum itu melaporkan, persaingan merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan ke-16 bermula secara rasmi pada 18 Julai dengan proses penamaan calon, sekali gus membuka tempoh berkempen selama 14 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!