'Saya hilang satu-satunya anak yang ada'

Kamaruzaman memeluk rakan-rakan arwah anaknya di luar Unit Forensik Hospital Kota Tinggi. Gambar kanan: Allahyarham Muhammad Nasrulhaq
Kamaruzaman memeluk rakan-rakan arwah anaknya di luar Unit Forensik Hospital Kota Tinggi. Gambar kanan: Allahyarham Muhammad Nasrulhaq
A
A
A

KOTA TINGGI – “Saya hilang satu-satunya anak yang saya ada.”

Demikian luahan penuh pilu Kamaruzaman Bahari, 50, selepas anaknya, Muhammad Nasrulhaq, 15, ditemukan meninggal dunia pada pagi Jumaat selepas dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.

Lebih meruntun hati, Kamaruzaman berkata, lokasi penemuan anaknya itu sebenarnya sudah berulang kali dilaluinya bersama pasukan pencarian sepanjang tempoh enam hari, namun mereka tidak menyedari jasad remaja berkenaan berada di situ.

“Kawasan itu sebenarnya saya sudah lalu berulang kali sepanjang lima hari mencari dia, tetapi tidak nampak jasad anak.

“Memang saya sudah lalu kawasan itu banyak kali. Kami cari setiap tempat yang dirasakan mungkin dilalui dia, tetapi tidak nampak.

“Mungkin kedudukan jasadnya yang agak ke bawah menyebabkan kami tidak menyedarinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Jumaat.

Menurut Kamaruzaman, sebaik dimaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah, dia terus mengambil cuti kerja dan menghabiskan hampir seluruh masanya menyertai operasi mencari.

“Sejak diberitahu anak sudah beberapa hari tidak pulang, saya terus bergegas dan mula mencari.

“Dari Ahad sampai malam sebelum dia ditemui, saya keluar mencari waktu pagi dan hanya balik sekitar jam 4 pagi sebelum sambung semula keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

“Boleh dikatakan kawasan sekitar Kota Tinggi khususnya Petri Jaya sudah seperti rumah kedua saya sepanjang seminggu ini,” katanya.

Tambah menyedihkan, Muhammad Nasrulhaq merupakan satu-satunya anak yang masih tinggal selepas anak sulung Kamaruzaman meninggal dunia sebelum ini.

“Saya hilang satu-satunya anak yang saya ada,” katanya dalam nada sebak.

Kamaruzaman berkata, anaknya seorang yang baik, pendiam dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga.

“Kalau ditanya ada masalah atau tidak, dia akan jawab, ‘tak ada apa-apa ayah, tak ada apa-apa ibu, okey saja’.

“Di sekolah pun dia okey. Dia anak yang baik,” katanya.

Walaupun reda dengan pemergian anaknya, dia mengakui masih terkilan kerana tidak berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama arwah memandangkan mereka tidak tinggal sebumbung.

“Kami bukan tinggal bersama. Saya bekerja kilang di Desa Cemerlang, Johor Bahru. Biasanya sebulan dua kali saya akan ambil dia ke rumah saya di Felda Air Tawar 2.

“Kali terakhir kami bersama adalah Sabtu minggu lalu sebelum proses mengundi berlangsung,” katanya.

Kamaruzaman menunjukkan gambar arwah anaknya.
Kamaruzaman menunjukkan gambar arwah anaknya.

Dalam pada itu, Kamaruzaman turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat, rakan-rakan arwah serta pelbagai pihak yang membantu dalam usaha mencari anaknya selepas kehilangannya tular di media sosial.

Jenazah Muhammad Nasrulhaq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Waha berhampiran kediaman bekas isterinya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha 135LC kira-kira jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, mayat yang ditemukan adalah Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman yang dipercayai keluar dari rumah di Felda Simpang Waha pada jam 11 malam, Sabtu (11 Julai) dengan menunggang motosikal bersendirian menuju ke rumah rakannya di Kampung Temenin Baru.

Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Waha untuk dikebumikan.
Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Waha untuk dikebumikan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah pada badan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!