Trump dakwa China curi data 220 juta pengundi AS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa China memperoleh secara tidak sah data pendaftaran kira-kira 220 juta pengundi negara itu dalam apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan data pilihan raya terbesar dalam sejarah.
Dalam ucapan khas di Rumah Putih pada Khamis, Trump berkata, data yang didakwa dicuri itu mengandungi maklumat sensitif termasuk nama, alamat, nombor telefon, kecenderungan parti politik serta butiran lain yang boleh digunakan untuk tujuan berkaitan pilihan raya.
Menurut beliau, aktiviti itu didakwa bermula sejak kitaran Pilihan Raya Presiden 2020 dan dikendalikan oleh unit khas eksploitasi data milik kerajaan China.
"Maklumat itu mengandungi segala yang diperlukan untuk mendaftarkan pengundi dan menjalankan pelbagai aktiviti yang tidak sah.
"Ia mewujudkan ancaman keselamatan pilihan raya yang belum pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Trump turut mendakwa beberapa pegawai dalam komuniti perisikan AS mengetahui mengenai pencerobohan data itu seawal 2020, namun maklumat tersebut sengaja tidak didedahkan kepada beliau sebelum Pilihan Raya Presiden berlangsung.
Beliau turut menuduh terdapat pihak dalam agensi perisikan yang cuba menyembunyikan maklumat mengenai campur tangan China dalam pilihan raya AS daripada pentadbirannya dan rakyat negara itu.
Selain itu, Trump mendakwa risikan yang diperoleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada 2020 menunjukkan wujud usaha China menghasilkan undi secara haram bagi memihak kepada bekas Presiden, Joe Biden.
Susulan dakwaan itu, Trump mengarahkan Pejabat Pengarah Perisikan Negara (ODNI), Jabatan Kehakiman (DOJ), FBI dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bagaimana maklumat tersebut disembunyikan, selain mengambil tindakan termasuk pendakwaan jenayah sekiranya wujud unsur pelanggaran undang-undang.
Bagaimanapun, sehingga kini Trump belum mengemukakan bukti awam yang mengesahkan dakwaan bahawa China memperoleh data 220 juta pengundi atau memanipulasi keputusan pilihan raya 2020.
Sebelum ini, beberapa laporan risikan AS yang dinyahklasifikasikan mengakui pegawai China pernah menganalisis data pendaftaran pengundi di beberapa negeri, namun tiada bukti yang menunjukkan penipuan pilihan raya berlaku pada skala yang mampu mengubah keputusan Pilihan Raya Presiden 2020.
Dakwaan Trump itu turut menerima kritikan pemimpin Demokrat, termasuk Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer, yang menyifatkan ucapan berkenaan sebagai cubaan menghidupkan semula kontroversi keputusan pilihan raya 2020, sambil menggesa pentadbiran memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

