Berang solekan ditegur, isteri jerut leher suami guna kain hingga maut

Prosiding perbicaraan kes berkenaan berlangsung di Mahkamah Daerah Medan, Sumatera Utara. Foto Tribun Medan
Prosiding perbicaraan kes berkenaan berlangsung di Mahkamah Daerah Medan, Sumatera Utara. Foto Tribun Medan
A
A
A

JAKARTA - Seorang wanita di Medan, Indonesia didakwa membunuh suaminya selepas berlaku pertengkaran berpunca daripada teguran mengenai penggunaan solekan.

Yuyun Kristina Sirait, 25, berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas didakwa menyebabkan kematian suaminya, Irfansyah Hutagalung.

Hukuman itu dibacakan pihak pendakwaan di Mahkamah Negeri Medan pada Isnin.

Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku di kediaman pasangan itu di Jalan Flamboyan Raya Gang Sejati, Kecamatan Medan Tuntungan.

Kes itu dikatakan bermula apabila mangsa pulang dari kerja dan melihat isterinya sedang memakai solekan di rumah.

Teguran mangsa kemudian mencetuskan pertengkaran antara mereka sebelum kedua-duanya masuk ke bilik untuk meneruskan perbincangan.

Ketika pertengkaran berlaku, mangsa didakwa sempat memeluk isterinya di atas katil, namun Yuyun dikatakan melawan sehingga berjaya mengubah kedudukan tubuh suaminya.

Wanita itu kemudian didakwa mencekik leher mangsa menggunakan kedua-dua tangannya, kemudian mengambil kain sarung dari bilik lain, mengikatnya pada jeriji tingkap sebelum melilitkan kain berkenaan pada leher mangsa hingga dia mati.

Pendakwa Raya berkata, perbuatan tertuduh terbukti melanggar peruntukan undang-undang jenayah Indonesia berkaitan kesalahan menyebabkan kematian seseorang.

Artikel Berkaitan:

Menurut pendakwaan, faktor memberatkan hukuman ialah perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa yang juga suaminya kehilangan nyawa.

Bagaimanapun, pihak pendakwa mengambil kira beberapa faktor meringankan termasuk tertuduh tidak pernah mempunyai rekod jenayah, bersikap baik sepanjang perbicaraan serta menyesali perbuatannya.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding ke minggu hadapan bagi mendengar pembelaan pihak tertuduh.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!