Gubal akta lindungi hak pendidik

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap cadangan menggubal Akta Perlindungan Guru bagi memastikan warga pendidik dilindungi ketika menjalankan tugas.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, peranan guru tidak terhad kepada mengajar di dalam bilik darjah, sebaliknya turut melibatkan aspek mendidik, menegur, mengawal pergerakan pelajar dan memastikan keselamatan mereka.
"Kadang-kadang berlaku perkara di luar kawalan guru sehingga menyebabkan kemalangan atau insiden yang tidak diingini. Jadi, saya bersetuju Akta Perlindungan Guru perlu diwujudkan.
"Sekurang-kurangnya jika guru telah melaksanakan tugas dengan baik, mengikut prosedur dan berlaku sesuatu di luar kawalan, akta ini akan memperjelaskan keadaan yang membolehkan seseorang guru itu dilindungi," katanya.
Anuar memberitahu, penggubalan akta berkenaan turut memberi manfaat kepada ibu bapa kerana dapat memahami dengan lebih jelas perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh guru ketika menjalankan tanggungjawab di sekolah.
"Jadi, sangat sesuai akta itu diwujudkan kerana ia bukan sahaja lindungi guru, malah meningkatkan kesedaran semua pihak bahawa guru ada hak serta peranan yang diperincikan dalam akta," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

