Mangsa buli bawa bom buatan sendiri ke sekolah

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian di MAN 3 Padang, Sumatera Barat. Foto Detik.com
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian di MAN 3 Padang, Sumatera Barat. Foto Detik.com
A
A
A

JAKARTA – Polis Indonesia mendedahkan seorang pelajar berusia 17 tahun yang membawa bom buatan sendiri ke sebuah sekolah menengah di Padang, Sumatera Barat, dipercayai bertindak akibat tekanan psikologi selepas didakwa sering menjadi mangsa buli oleh rakan-rakannya.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Sumatera Barat, Komisaris Besar Polis Susmelawati Rosya berkata, siasatan awal mendapati remaja berkenaan mengalami tekanan emosi yang berpanjangan kerana sering diejek dan dibuli di sekolah.

"Dia mengakui kerap menjadi sasaran buli sehingga memberi kesan psikologi yang mendalam," katanya pada Selasa.

Menurut beliau, pihak polis kini memberi tumpuan kepada pemulihan remaja terbabit kerana setakat ini tiada petunjuk dia mempunyai kaitan dengan mana-mana rangkaian pengganas.

Remaja itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Padang bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Khas (Densus) 88 Antipengganas, Mayndra Eka berkata, suspek mengaku mempelajari cara menghasilkan bahan letupan menerusi internet.

Beliau turut mendakwa mendapat inspirasi daripada satu insiden letupan bom di sebuah sekolah menengah di Jakarta pada tahun 2025.

Menurut siasatan awal, bom buatan sendiri itu dipercayai dipasang menggunakan bahan yang diperoleh secara dalam talian dan disiapkan di rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Suspek juga mengaku menyertai beberapa kumpulan dalam talian yang membincangkan cara menghasilkan bahan letupan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, semua pengakuan itu masih dalam proses pengesahan dan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Insiden itu berlaku pada Selasa di Madrasah Aliyah Negeri (MAN) 3 Padang, di Balai Gadang, Koto Tengah.

Menurut polis, letupan hanya berlaku sekali di kawasan berhampiran bilik darjah dan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian.

Siasatan awal mendapati alat yang disyaki bom buatan sendiri itu terlebih dahulu ditemui oleh pengawal keselamatan sekolah sebelum pihak pengurusan memaklumkan kejadian kepada polis.

Pemeriksaan di lokasi turut menemukan beberapa barangan termasuk sebuah kotak hitam, beg, telefon bimbit, mercun, pisau, anak panah, guli, pengikat logam serta beberapa bahan lain yang dipercayai berkaitan dengan kes.

Polis berkata, identiti individu yang didakwa menjadi sasaran remaja itu masih berdasarkan keterangannya dan belum dapat disahkan sepenuhnya.

Kes kini disiasat oleh Polis Sumatera Barat dengan kerjasama Densus 88 bagi mengenal pasti motif sebenar serta semua aspek berkaitan kejadian tersebut. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!