Kelantan jamin hutan simpan diganti

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memberi jaminan setiap kawasan hutan simpan yang dibatalkan pewartaannya bagi tujuan pembangunan atau perlombongan akan digantikan dengan kawasan baharu sebagai hutan simpan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu turut melibatkan isu Hutan Simpan Temangan di Machang yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini.
Menurut beliau, kawasan berkenaan sebenarnya telah diluluskan untuk aktiviti perlombongan granit sejak tahun 2009, namun proses mengeluarkannya daripada status hutan simpan hanya dilaksanakan baru-baru ini.
"Sebenarnya sejak tahun 2009 lagi kelulusan telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan perlombongan granit di situ.
"Cuma sekarang barulah kawasan itu diwartakan keluar daripada senarai hutan simpan negeri," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan memberitahu, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perhutanan Kelantan berhubung status kawasan berkenaan.
Katanya, Jabatan Perhutanan Kelantan memberi jaminan bahawa setiap hutan simpan yang dibatalkan pewartaannya perlu diganti dengan kawasan lain.
"Insya-ALLAH, jika memang perlu diganti, kita akan gantikan dengan kawasan lain. Kelulusan pada tahun 2009 dibuat kerana kawasan itu mempunyai sumber granit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

