De la Fuente anggap Sepanyol pasukan terbaik dunia

LUIS de la Fuente menyifatkan Sepanyol sebagai pasukan terbaik dunia selepas La Roja menampilkan persembahan mantap untuk menyingkirkan Perancis 2-0 pada separuh akhir Piala Dunia 2026.
Kemenangan itu mengesahkan kemaraan Sepanyol ke final Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas kejayaan menjulang trofi pada edisi 2010, sekali gus mengukuhkan keyakinan De la Fuente terhadap pasukannya.
Jurulatih berusia 65 tahun itu sebelum ini berulang kali menegaskan Sepanyol memiliki kualiti untuk menjadi pasukan terbaik kejohanan, dan pandangannya semakin kukuh selepas mereka menundukkan salah satu pasukan terkuat dunia.
“Kami bermula hampir empat tahun lalu dengan satu idea dan kami kekal setia kepada idea itu sehingga membawa kami ke tahap ini.
“Hari ini kami berdepan antara pasukan terbaik dunia, tetapi mereka juga berdepan pasukan terbaik dunia. Itu adalah sesuatu yang berbeza,” katanya.
Kejayaan ke atas Perancis turut melengkapkan pencapaian taktikal De la Fuente yang sebelum ini membimbing Sepanyol menjulang Euro 2024.
Malah, La Roja kini merekodkan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Les Bleus dalam aksi kompetitif.
De la Fuente turut memuji komitmen anak buahnya yang menurutnya menjadi kunci kejayaan Sepanyol kembali mencabar kejuaraan dunia.
“Pemain-pemain ini layak menerima segala-galanya. Hari demi hari mereka menunjukkan komitmen, semangat berpasukan, kemurahan hati dan bakat.
“Mereka menjadikan perkara sukar kelihatan mudah,” katanya.
Sepanyol kini hanya selangkah untuk melengkapkan satu lagi era gemilang apabila menanti pemenang separuh akhir antara England dan Argentina pada aksi final Isnin ini (3 pagi waktu Malaysia).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
