Wanita Afghanistan 'terkurung' di rumah

Puluhan wanita telah ditahan pasukan di bawah Kementerian Amar Makruf dan Nahi Mungkar Taliban pada awal Jun atas dakwaan melanggar kod pemakaian rasmi kerana tidak mengenakan chador atau burqa.
Puluhan wanita telah ditahan pasukan di bawah Kementerian Amar Makruf dan Nahi Mungkar Taliban pada awal Jun atas dakwaan melanggar kod pemakaian rasmi kerana tidak mengenakan chador atau burqa.
A
A
A

HERAT – Perniagaan di bandar barat Afghanistan mengalami kemerosotan apabila pelanggan wanita memilih untuk tinggal di rumah susulan tindakan tegas polis moral terhadap pemakaian golongan itu.

Puluhan wanita telah ditahan pasukan di bawah Kementerian Amar Makruf dan Nahi Mungkar Taliban pada awal Jun atas dakwaan melanggar kod pemakaian rasmi kerana tidak mengenakan chador atau burqa.

"Sejak insiden itu berlaku, tiada lagi wanita yang berkunjung ke pasar," kata pemilik kedai jahit, Ramin Ghafoori, 26.

Herat ialah hab perdagangan utama di barat Kabul dan antara bandar terbesar di negara itu.

Wanita menjadi pelanggan utama di pasar-pasar Herat yang dahulunya sentiasa meriah dengan aktiviti jual beli.

"Kira-kira 90 peratus daripada pelanggan kami ialah wanita dan mereka juga membeli barangan untuk ahli keluarga lelaki," kata pemilik kedai kasut, Nazeer Ahmad Azimi.

Wanita menjadi pelanggan utama di pasar-pasar Herat yang dahulunya sentiasa meriah dengan aktiviti jual beli.
Wanita menjadi pelanggan utama di pasar-pasar Herat yang dahulunya sentiasa meriah dengan aktiviti jual beli.

Penguatkuasaan lebih ketat terhadap kod pemakaian wanita telah menyebabkan hasil jualan di pasar-pasar di bandar itu merudum.

Artikel Berkaitan:

Sejak kembali berkuasa pada 2021, Taliban telah menguatkuasakan pelbagai sekatan terhadap wanita termasuk melarang mereka melanjutkan pelajaran selepas peringkat sekolah rendah, bekerja dalam bidang tertentu dan mengunjungi taman awam.

Seorang penduduk Herat berusia 28 tahun yang enggan dikenali atas faktor keselamatan memberitahu dia tidak lagi keluar ke tempat awam untuk bertemu rakan-rakan.

"Saya berasa seperti orang asing di tanah air sendiri," katanya yang memilih untuk tinggal di rumah kerana bimbang diperiksa oleh polis moral.

Seorang wanita berusia 27 tahun turut berkongsi rasa takut melampau yang dialaminya.

"Sejak bulan lalu, saya hanya terperuk di rumah. Saya terpaksa meninggalkan semua aktiviti di luar yang biasa saya lakukan sebelum ini," katanya.

Setiap wanita diwajibkan memakai chador atau burqa yang menutup seluruh tubuh.
Setiap wanita diwajibkan memakai chador atau burqa yang menutup seluruh tubuh.

Sekatan tersebut telah mengubah wajah Herat yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ibu kota kebudayaan Afghanistan di mana jumlah pelajar wanita di universiti pernah melebihi penuntut lelaki sebelum Taliban kembali memerintah.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada ekonomi dan menjejaskan peniaga seperti Ghafoori.

Wanita adalah nadi pasar ini. Jika tiada mereka, pasar akan hilang kemeriahan dan menjadi lengang,” katanya

"Negara Asia Selatan itu kini berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing selepas pemerintah Taliban berikrar untuk meningkatkan keupayaan ekonomi negara supaya lebih berdikari dan mengurangkan pergantungan kepada bantuan asing termasuk daripada Amerika Syarikat.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dasar yang mengecualikan wanita daripada pelbagai bidang boleh menyebabkan ekonomi Kabul mengalami kerugian besar sebanyak AS$1 bilion (RM4.07 bilion) setahun. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!