'Ayah pulanglah, Aissah rindu'

Gambar kenangan Teoh Lee Ann @ Muhammad Ridhuan Teoh bersama abang sulung kepada Siti Aissah yang telah meninggal dunia.
Gambar kenangan Teoh Lee Ann @ Muhammad Ridhuan Teoh bersama abang sulung kepada Siti Aissah yang telah meninggal dunia.
A
A
A

KOTA BHARU – Menjelang hari bahagia yang dijadual berlangsung hujung Ogos depan, seorang wanita berharap impiannya untuk bertemu semula dengan ayah kandung yang terpisah sejak kecil menjadi kenyataan.

Siti Aissah Teoh Lee Ann, 20, berkata, dia kini sedang berusaha menjejaki ayahnya, Teoh Lee Ann @ Muhammad Ridhuan Teoh Abdullah, 69, selepas sekian lama terputus hubungan susulan perceraian ibu bapanya.

"Kali terakhir saya dimaklumkan ayah berada di Pulau Pinang sebelum gagal dikesan sehingga kini.

"Saya sangat merinduinya dan berharap dapat bertemu semula dengan ayah sebelum berkahwin hujung Ogos ini serta boleh menjadi wali pada hari bahagia itu nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ujar dia, beberapa kali usaha mencari ayahnya itu dilakukan namun tidak berjaya.

Aissah memberitahu, dia kini bekerja di Gerik, Perak, manakala ibunya, Siti Timah Ahmad Staz, 44, menetap di Ipoh.

Menurutnya, dia merupakan anak kedua daripada tiga beradik, namun abang sulungnya telah meninggal dunia.

"Saya sangat berharap ayah hadir pada hari paling bermakna dalam hidup ini.

"Jika ayah membaca atau mendapat tahu mengenai berita ini, pulanglah. Saya benar-benar ingin bertemu ayah semula," katanya penuh harapan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan Teoh Lee Ann @ Muhammad Ridhuan Teoh Abdullah diminta menghubungi talian 013-9971170.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!