Sumareh kembali perkuat Harimau Malaya

PEMAIN naturalisasi, Mohamadou Sumareh kembali mendapat kepercayaan skuad kebangsaan selepas dimasukkan dalam senarai 26 pemain yang dipanggil ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat menjelang kejohanan Piala ASEAN 2026 bulan ini.
Selain Sumareh, Cheng Hoe turut mempertaruhkan beberapa pemain berpengalaman termasuk tiga lagi pemain naturalisasi, iaitu Paulo Josue, Sergio Aguero dan Endrick dos Santos dalam skuad yang dibentuk ketika beliau berdepan kekangan mendapatkan pelepasan pemain daripada kelab.
Barisan kali ini turut menyaksikan beberapa pemain muda dan wajah baharu diberikan peluang, antaranya Pavithran Gunalan, Faris Danish Asrul, Haziq Aiman Esa, Ziad El Basheer Norisham serta Ubaidullah Shamsul Fazili.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan barisan pemain kali ini dipilih selepas penilaian dan penelitian panjang dibuat Cheng Hoe.
"Beliau (Cheng Hoe) menghadapi satu situasi sukar dalam menyediakan pasukan bagi menghadapi Piala ASEAN 2026.
"Ini kerana, seperti yang semua sedia maklum, kejohanan ini berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA dan juga ketika kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 baru saja memulakan latihan pramusim masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Kesemua pemain akan melapor diri bagi kem latihan pusat bermula Rabu ini dengan hanya lapan hari tersedia untuk Cheng Hoe membentuk keserasian pasukan sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 23 Julai.
Harimau Malaya akan membuka kempen Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada 25 Julai, sebelum berdepan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras (28 Julai), Thailand di Stadium Rajamangala Bangkok (1 Ogos) dan Filipina di Cheras pada 8 Ogos.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir secara timbal balik pada pertengahan Ogos manakala final dijadualkan berlangsung pada 22 dan 26 Ogos.
Berikut senarai 26 pemain dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang saingan Piala ASEAN 2026:
1. Mohamadou Sumareh, 32, Johor Darul Ta’zim
2. Ibrahim Manusi, 25, Johor Darul Ta’zim
3. Daryl Sham George, 24, Johor Darul Ta’zim II
4. Pavithran Gunalan, 21, Johor Darul Ta’zim II
5. Ziad El Basheer Norisham, 23, Johor Darul Ta’zim II
6. Alif Ahmad, 23, Johor Darul Ta’zim II
7. Faris Danish Asrul, 20, Johor Darul Ta’zim II
8. Haziq Aiman Esa, 21, Johor Darul Ta’zim II
9. Paulo Josue, 37, Kuala Lumpur City FC
10. Zhafri Yahya, 32, Kuala Lumpur City FC
11. Fazrul Amir Zaman, 26, Kuala Lumpur City FC
12. Jimmy Raymond, 30, Kuching City FC
13. Rodney Celvin Akwensivie, 30, Kuching City FC
14. Rahadiazli Rahalim, 25, Terengganu FC
15. Ubaidullah Shamsul Fazili, 23, Terengganu FC
16. Azri Ghani, 27, Negeri Sembilan FC
17. Ruventhiran Vengadesan, 25, Melaka FC
18. Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, 26, Penang FC
19. Dominic Tan, 29, Sabah FC
20 Endrick dos Santos, 31, Belum diumumkan
21. Engku Shakir Engku Yacob, 28, Belum diumumkan
22. Syafiq Ahmad, 31, Belum diumumkan
23. Sergio Aguero, 32, Belum diumumkan
24. Hadi Fayyadh Abdul Razak, 26, Vencedor Mie United
25. Richard Chin, 24, Ross County FC
26. Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, 28, Sporting JAX
Senarai bersedia:
1. Samuel Somerville, 32, DPMM FC
2, Tommy Mawat Bada, 30, DPMM FC
3, Akhyar Rashid, 27, Terengganu FC
4. Danial Amier Norhisham, 29, Terengganu FC
5. Adam Nor Azlin, 30, Kuala Lumpur City FC
6. Ahmad Aysar Hadi Shapri, 23, Johor Darul Ta’zim II
7. Haqimi Azim Rosli, 23, Belum diumumkan
8. Fayadh Zulkifli Amin, 28, Belum diumumkan
9. Fadzrul Danel Nizam, 28, Belum diumumkan
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
