Syarikat telco disaran beri akses internet tanpa had sepanjang PKP

Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman
A
A
A

SEPANGGAR - Semua syarikat telekomunikasi di negara ini disarankan memberi akses perkhidmatan internet tanpa had sebagai inisiatif membantu kerajaan dan rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, saranan itu dikemukakan susulan lanjutan tempoh PKP fasa ketiga mulai 15 April ini yang sudah pasti menyebabkan berlaku permintaan dan penggunaan data internet melonjak tinggi ekoran sebahagian besar aktiviti dan urusan kini berlaku dalam talian.

Menurutnya, penggunaan internet selama tempoh PKP ini bukan lagi suatu pilihan, namun sudah menjadi 'new normal' dan keperluan untuk semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang berada di luar bandar untuk berkomunikasi dan mendapatkan informasi, bahkan melaksanakan transaksi.

"Sepanjang PKP, ramai guru menganjurkan kelas secara dalam talian, namun sukar diikuti ramai pelajar khususnya dari luar bandar kerana berdepan masalah kekangan data tidak mencukupi.

"Pada ketika ini, jangankan kemampuan untuk membeli data, kemampuan untuk membeli barangan makanan pun ada yang berdepan kesukaran kerana keluarga mereka kehilangan mata pencarian.

"Oleh demikian, saya merayu agar semua syarikat telekomunikasi di negara ini sama-sama berganding bahu membantu kerajaan dan rakyat khususnya melalui inisiatif memberi akses tanpa had sepanjang tempoh PKP ini sebagai sebahagian tanggungjawab sosial mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, selain kekangan dihadapi pelajar miskin luar bandar, golongan penduduk berpendapatan rendah juga berdepan masalah sama terutama dalam aspek mendapatkan informasi melibatkan PKP, koronavirus (Covid-19) dan maklumat berkaitan bantuan rakyat melalui dalam talian.

Menurutnya, ramai merungut ketiadaan akses data internet dan ketidakmampuan membeli data daripada syarikat telekomunikasi mengakibatkan mereka tidak mengetahui kemudahan permohonan secara dalam talian atau tidak dapat mengakses sistem dalam talian kerana data internet habis.

Artikel Berkaitan:

"Semoga dengan adanya tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat-syarikat telekomunikasi negara melalui inisiatif ini, sedikit sebanyak ia mampu membantu kerajaan dan rakyat khususnya dalam mengharungi tempoh krisis kesihatan global ini.

"Secara tidak langsung, ia dapat memastikan informasi dan maklumat berkenaan usaha-usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 sampai kepada rakyat, sekali gus membantu menjayakan kempen 'Stay At Home' dikuatkuasakan kerajaan susulan inisiatif pemberian data internet tanpa had terbabit," katanya.