Wanita terjatuh ketika mendaki Bukit Pelindung

KUANTAN- Seorang wanita diselamatkan selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti 'hiking' di kawasan air terjun berhampiran menara tinjau di Bukit Pelindung di sini pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, wanita berusia 37 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki.

Menurutnya, kejadian dilaporkan jam 9.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi untuk bantuan menyelamat.
"Anggota sampai di kaki bukit jam 9.24 pagi sebelum menaiki bukit sejauh lima kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa berada.
"Mangsa segera diberikan bantuan awal sebaik anggota tiba," katanya.
Zulfadli berkata, anggota pasukan penyelamat bergerak turun bersama mangsa dari lokasi ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital menerima rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

