China cipta sejarah, berjaya mendaratkan roket boleh guna semula

BEIJING – China mencipta sejarah baharu dalam program angkasanya apabila berjaya mendaratkan roket boleh guna buat kali pertama pada Jumaat sekali gus membuka laluan untuk mengurangkan kos pelancaran misi angkasa pada masa depan, lapor Channel News Asia.
Kejayaan itu turut meletakkan negara berkenaan pada kedudukan lebih kukuh untuk mencabar dominasi Amerika Syarikat (AS) dalam teknologi roket boleh guna yang ketika ini diterajui syarikat SpaceX milik Elon Musk dan Blue Origin milik Jeff Bezos.
Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China (CNSA), roket Long March-10B dilancarkan pada jam 12.15 tengah hari dari tapak pelancaran di wilayah Hainan sebelum berjaya meletakkan sebuah satelit ke orbit.
Selepas itu, peringkat pertama roket yang berfungsi menghasilkan daya tujahan awal berjaya dipulihkan menerusi sistem tangkapan berasaskan jaring di atas sebuah platform terapung di laut.
Rakaman yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan, CCTV, memaparkan roket itu turun secara terkawal sebelum mendarat dengan selamat di atas platform berkenaan.
"Ia merupakan satu kejayaan besar dalam pembangunan teknologi roket boleh guna semula China," menurut kenyataan agensi itu.

Tidak seperti roket Falcon 9 milik SpaceX yang menggunakan kaki pendaratan, Long March-10B menggunakan sistem tangkapan berasaskan jaring.
Pakar teknikal Akademi Teknologi Kenderaan Pelancar China, Chen Muye berkata, sistem tersebut menawarkan kelebihan tersendiri kerana lebih fleksibel bagi memenuhi keperluan pendaratan roket.
Menurutnya, kaedah itu juga membolehkan struktur roket dipermudahkan kerana tidak memerlukan pemasangan kaki pendaratan, sekali gus mengurangkan berat keseluruhan roket.
"Pengurangan berat ini membolehkan kapasiti muatan ditingkatkan selain meningkatkan kecekapan operasi," katanya.
Kebanyakan roket konvensional hanya boleh digunakan sekali sebelum bahagiannya terhempas ke laut, terbakar di atmosfera atau kekal di orbit sebagai serpihan angkasa.
Bahagian pertama roket pula merupakan komponen paling mahal dalam keseluruhan sistem pelancaran.
Penggunaan semula komponen tersebut dijangka mampu mengurangkan kos pelancaran satelit dan kapal angkasa secara signifikan.
Siri roket Long March-10 dibangunkan bagi menyokong misi China ke bulan pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
