'Jika kamu menyerang, kamu akan diserang' - Iran gertak AS

Mohammad Bagher Qalibaf, - Agensi
Mohammad Bagher Qalibaf, - Agensi
A
A
A

TEHERAN – Iran menegaskan Selat Hormuz hanya akan dibuka mengikut pengaturan yang ditetapkan Teheran, bukan melalui tekanan atau ancaman Amerika Syarikat (AS).

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf berkata, Washington masih belum memahami bahawa tindakan mengugut serta melanggar perjanjian tidak lagi akan berlaku tanpa menerima akibat.

"Amerika Syarikat masih belum belajar bahawa tindakan membuli dan memungkiri janji tidak lagi datang tanpa kos.

"Jelas sekali, jika kamu menyerang, kamu akan diserang," katanya menerusi hantaran di platform X pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat selepas media Iran melaporkan serangan baharu AS pada lewat Rabu yang menyasarkan beberapa lokasi di bahagian selatan dan tenggara negara itu.

Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) kemudian mengesahkan tenteranya melancarkan serangan tambahan terhadap Iran dengan matlamat melemahkan keupayaan Teheran mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab dan menjadi laluan utama eksport minyak dunia.

Ketegangan di kawasan itu meningkat selepas Iran dan AS terlibat dalam siri serangan balas, dengan kedua-dua pihak saling menuduh mencetuskan ancaman terhadap keselamatan pelayaran antarabangsa.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!