Kes Puad Zarkashi: Polis Johor masih lengkapkan kertas siasatan

JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan siasatan terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya, masih diteruskan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya belum dapat memberikan sebarang ulasan lanjut berhubung perkara itu berikutan siasatan masih dijalankan.
"Ya, kita masih dalam siasatan perkara ini.
"Saya pun tak boleh nak ulas sebab banyak perkara yang masih lagi kita teliti untuk kita melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No. 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.
Pada 25 Jun lalu, polis mengesahkan menerima sebanyak 153 laporan di seluruh negara berhubung kenyataan Mohd Puad yang mendakwa terdapat campur tangan pihak istana dalam pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Ab Rahaman dalam kenyataannya berkata, laporan tersebut diterima daripada pelbagai pihak termasuk bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jun lalu.
Bekas Speaker DUN Johor itu dilaporkan berkata, pengundurannya dibuat kerana UMNO tidak lagi bebas membuat keputusan dan mendakwa UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat keputusan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan punca Mohd Puad keluar daripada UMNO adalah kerana anak lelakinya tidak diletakkan sebagai calon bagi kerusi DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

