'Selepas ini kena ‘perang’ balik dengan Persekutuan' - Sanusi

SUNGAI PETANI - Kedah akan meneruskan usaha mendesak Kerajaan Persekutuan mengembalikan status penuh Langkawi sebagai pulau bebas cukai bagi merancakkan kembali sektor pelancongan dan ekonomi pusat peranginan berkenaan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjuangan tersebut menjadi agenda kerajaan negeri selepas beberapa keistimewaan bebas cukai di Langkawi ditarik balik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kita dah cakap sipi-sipi, tak diambil tindakan.
"Selepas ini kena ‘perang’ balik dengan Persekutuan untuk mengembalikan status penuh bebas cukai Langkawi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Dana PRU16 Pas Kawasan Sungai Petani di sini pada Ahad.
Muhammad Sanusi berkata, usaha mempertahankan kedudukan Langkawi turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang sebelum ini beberapa kali menzahirkan kebimbangan terhadap pengurangan keistimewaan pulau berkenaan.
Sempena Hari Keputeraan baginda ke-84, Sultan Sallehuddin sekali lagi menegaskan Langkawi perlu dibangunkan berasaskan identiti dan keunikan tersendiri tanpa meniru destinasi pelancongan lain seperti Phuket dan Bali.
Menurut Muhammad Sanusi, perbandingan antara Langkawi dengan Phuket atau Bali adalah tidak tepat kerana kedua-dua destinasi itu mempunyai konsep pelancongan berbeza.
"Phuket terkenal dengan sektor hiburan, perjudian dan aktiviti lain yang tidak sesuai dengan identiti Langkawi...Langkawi tak boleh buat seperti itu, rosak habis lah.
"Ada orang yang akal tak berapa cukup, dia bandingkan Langkawi dengan Phuket.
"Langkawi ada identiti tersendiri dan tidak boleh dibandingkan dengan Phuket atau Bali," jelasnya.
Dalam pada itu, Sanusi melahirkan kebimbangan berhubung dakwaan kemungkinan sebuah kawasan baharu di selatan tanah air bakal dijadikan pusat bebas cukai bagi membawa masuk kenderaan mewah, sekali gus dikhuatiri menjejaskan keistimewaan yang sebelum ini dimiliki Langkawi.
“Saya difahamkan, satu pusat baru akan dijadikan kawasan bebas cukai untuk bawa masuk kereta mewah di selatan tanah air, ditarik keistimewaan dari Langkawi, bawa ke selatan.
"Saya harap ia tidak berlaku, apa yang menjadi keistimewaan di Langkawi akan hilang jika dipindahkan ke tempat lain termasuk limpahan ekonomi,” katanya.
Sanusi memaklumkan, penarikan pengecualian cukai bagi kenderaan mewah memberi kesan besar kepada ekonomi Langkawi.
“Pengerusi Ferrari Malaysia maklumkan, keputusan itu menyebabkan jualan kereta mewah beralih ke negara lain, Malaysia dianggarkan kehilangan sekurang-kurangnya RM400 juta akibat daripada keputusan kerajaan tarik balik pengecualian cukai kereta mewah di Langkawi.
“Syarikat yang jual kereta mewah tak datang lagi ke Langkawi, termasuk orang kaya yang datang beli kereta mewah di sini.
"Mereka berbelanja besar, menginap di hotel lima bintang, makan di restoran mewah, membeli-belah, secara tidak langsung merancakkan ekonomi.
"Bila tarikan itu tiada, golongan ini tidak datang lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

