Fokus pemisah kemenangan Malaysia

FOKUS ketika mata-mata penting selain sorakan padu rakan sepasukan membantu gandingan negara, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal dan Low Zi Yu, menjuarai acara beregu campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia 2026.
Menurut Zi Yu, mereka berdepan tentangan sengit daripada pasangan China, Zheng Wei Gang dan Li Meng Han, terutama pada set kedua ketika kedudukan mata semakin rapat.
"Perlawanan memang sukar. Apabila mata semakin rapat, kami cuba lebih bersabar dan kekal fokus. Saya rasa itu yang membezakan kami dengan lawan.
"Walaupun ada rakan sepasukan yang sudah tewas, mereka tetap memberikan sokongan kepada kami. Sorakan itu benar-benar menaikkan semangat kami," katanya selepas perlawanan di Gimnasium Umum Bandar Yatsushiro, pada Ahad.
Sementara itu, Ahmad Redzuan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil daripada latihan berterusan yang diterjemahkan dengan baik pada perlawanan akhir.
"Saya dapat mengeluarkan corak permainan seperti yang kami latih sebelum ini. Selepas ini masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk menghadapi cabaran seterusnya.
"Pada awalnya agak sukar untuk mencari rentak, tetapi latihan setiap hari membantu kami membina keserasian. Saya juga yakin dengan kemampuan pasangan saya," katanya.
Kemenangan 21-15, 22-20 dalam tempoh 43 minit itu turut menamatkan penantian Malaysia selama 19 tahun untuk kembali merangkul gelaran beregu campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia.
Kali terakhir wakil negara muncul juara menerusi gandingan Tan Wee Kiong dan Woon Khe Wei pada edisi 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
