59 atlet galas cabaran Malaysia di Glasgow 2026

SAIZ kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang lebih kecil tidak menjejaskan keyakinan untuk membawa pulang kejayaan apabila persiapan atlet negara kini berada pada landasan terbaik menjelang temasya sukan itu.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, seramai 59 atlet negara termasuk 22 atlet para akan membawa cabaran Malaysia dalam lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini.
Beliau berkata, dua sukan yang tidak disertai Malaysia ialah tinju dan bola jaring.
"Hari ini saya berpeluang melawat kem latihan bagi tiga sukan iaitu renang, gimnastik dan para olahraga. Alhamdulillah, program latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel Glasgow 2026 berjalan dengan baik dan lancar.
"Atlet kita juga berada dalam keadaan sihat serta mempunyai semangat yang tinggi. Insya-ALLAH, mereka akan ke sana dengan daya juang dan komitmen tinggi untuk membawa pulang kejayaan kepada negara," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke venue latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini.
Awalan berkata, Glasgow 2026 dianggap unik kerana hanya 10 jenis sukan dipertandingkan berbanding kebiasaannya sekitar 17 hingga 18 sukan pada edisi terdahulu.
Beliau berkata, selain jumlah sukan yang lebih sedikit, bilangan acara yang dipertandingkan turut dikurangkan, sekali gus menyaksikan tawaran pingat lebih rendah berbanding edisi sebelum ini.
"Dari segi sasaran, kita akan bincangkan kemudian, namun saya berharap semua atlet memberikan yang terbaik. Kita telah mengenal pasti sukan yang berpotensi menyumbang pingat kepada negara," katanya.
Dalam pada itu, Awalan berkata, ketiadaan Perkampungan Sukan pada edisi kali ini bukan halangan besar kepada kontinjen negara kerana penginapan atlet telah diatur mengikut kluster hotel yang terletak berhampiran venue pertandingan.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sasaran rasmi pingat kontinjen Malaysia bagi Glasgow 2026 dijangka diumumkan beberapa hari sebelum majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang dijadual berlangsung pada 16 Julai ini.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini dengan mempertandingkan 10 jenis sukan, termasuk olahraga, renang, berbasikal trek, boling padang, tinju, judo dan angkat berat, selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.
Sebagai rekod, Malaysia meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England. Namun, cabaran dijangka lebih mencabar di Glasgow 2026 apabila empat daripada tujuh pingat emas itu disumbangkan menerusi sukan yang tidak lagi dipertandingkan pada edisi kali ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
