Saman 1MDB terhadap Standard Chartered diteruskan untuk perbicaraan di Singapura

SINGAPURA - Saman terhadap Standard Chartered Bank berhubung dakwaan peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan diteruskan ke peringkat perbicaraan di Singapura susulan perintah mahkamah.
Dalam kenyataan pada Rabu, penyelesai bebas yang dilantik mahkamah bagi pihak plaintif menyatakan Mahkamah Tinggi Singapura pada Selasa mengekalkan keputusan menolak permohonan Standard Chartered Bank untuk membatalkan saman itu, sekali gus membenarkan tuntutan bernilai AS$2.7 bilion (AS$1 = RM4.08) diteruskan.
Pada November 2025, Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan bank berkenaan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh pihak penyelesai, yang mendorong bank itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Menurut laporan media, saman itu difailkan pada Jun 2025 oleh Angela Barkhouse dan Toni Shukla bagi pihak bekas anak syarikat 1MDB iaitu Alsen Chance Holdings Ltd, Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd dan Brightstone Jewellery Ltd.
Saman itu mendakwa bank berkenaan meluluskan lebih 100 pindahan dana antara akaun dalam bank yang membantu menyembunyikan dana yang diselewengkan di samping mengabaikan pelbagai petunjuk yang mencurigakan.
Menurut kenyataan itu, pihak penyelesai kekal bertekad dalam komitmen mereka untuk mendapatkan semula aset yang diselewengkan daripada syarikat-syarikat terbabit serta memastikan pihak yang bertanggungjawab memudahkan penyelewengan aset itu dipertanggungjawabkan sebagai sebahagian daripada penipuan berskala besar membabitkan 1MDB.
"Pihak penyelesai menyambut baik penolakan rayuan bank itu sebagai satu langkah positif ke hadapan bagi usaha pemulihan mereka, yang akhirnya adalah demi manfaat rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.
Jurucakap Standard Chartered memberitahu Bernama bahawa bank itu berhasrat untuk memohon kebenaran bagi memfailkan rayuan lanjut.
Plaintif diwakili oleh Lok Vi Ming SC, Joseph Lee, Mohd Haireez, Tan Kah Wai dan Koo Jin Rong daripada LVM Law Chambers LLC.
Lim Chee Wee Partnership yang berpangkalan di Kuala Lumpur bertindak sebagai peguam penyelaras global bagi semua usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB di Malaysia dan luar negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
