Strategi 'parkir bas' Jepun makan diri

KEPUTUSAN Jepun mengubah pendekatan kepada corak permainan lebih bertahan selepas mendahului akhirnya memakan diri apabila Brazil bangkit mencatat kemenangan dramatik 2-1 pada aksi Pusingan 32 Piala Dunia 2026.
Skuad Samurai Blue yang menguasai separuh masa pertama dilihat selesa mengawal permainan selepas membuka jaringan menerusi Sano, namun memilih untuk berkampung di kawasan sendiri sebaik babak kedua bermula.
Tindakan itu memberi ruang kepada Brazil menguasai permainan sepenuhnya sebelum pasukan bimbingan Carlo Ancelotti memanfaatkan tekanan berterusan untuk membalikkan keadaan.
Ancelotti turut memainkan peranan penting menerusi pertukaran taktikal apabila memasukkan Endrick menggantikan Lucas Paqueta pada waktu rehat bagi mengukuhkan jentera serangan, sebelum Gabriel Martinelli dibawa masuk menggantikan Matheus Cunha.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila Casemiro menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada babak kedua sebelum Martinelli muncul wira dengan gol kemenangan pada minit ke-95 hasil gerakan Bruno Guimaraes.
Selepas mempamerkan aksi meyakinkan pada separuh masa pertama, Jepun gagal mengekalkan rentak permainan apabila terlalu banyak bertahan dan memberi peluang kepada Brazil mengasak tanpa henti.
Walaupun sempat menyerap beberapa siri serangan, benteng pertahanan mereka akhirnya runtuh pada penghujung perlawanan.
Kekalahan itu meneruskan penantian Jepun untuk mencipta kemenangan pertama dalam aksi kalah mati Piala Dunia.
Mereka kini sudah lima kali tersingkir di pusingan kalah mati, dengan empat kegagalan sebelum ini berlaku pada pusingan 16 terbaik, manakala edisi 2026 menyaksikan mereka tersingkir di pusingan 32 susulan format baharu 48 pasukan.
Bagi Brazil, kemenangan itu meneruskan rekod cemerlang mereka dalam aksi kalah mati menentang wakil Asia, Afrika dan Amerika Utara sejak tewas kepada Argentina pada edisi 1990.
Lebih penting, ia membuktikan sentuhan Ancelotti terus menjadi pemisah apabila ketenangannya melakukan perubahan taktikal berjaya menghidupkan semula kempen Selecao dalam misi memburu gelaran Piala Dunia keenam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
