30 kawah bubur asyura satukan 18 kampung

Program gotong-royong anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin itu menghimpunkan kira-kira 300 sukarelawan.
Program gotong-royong anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin itu menghimpunkan kira-kira 300 sukarelawan.
A
A
A

KOTA BHARU - Aroma rempah ratus yang memenuhi ruang pekarangan Masjid Imanul Faizin atau lebih dikenali sebagai Masjid Andalusia di sini menjadi saksi penyatuan penduduk daripada 18 kampung yang berganding bahu menyiapkan 30 kawah bubur asyura sempena bulan Muharam.

Program gotong-royong anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin itu menghimpunkan kira-kira 300 sukarelawan yang terdiri daripada wakil setiap kampung termasuk anak muda bagi meneruskan tradisi yang menjadi identiti masyarakat Kelantan sejak turun-temurun.

Setiausaha Masjid Imanul Faizin, Mohamad Rozi Abdullah berkata, sebanyak 30 kawah bubur asyura dimasak tahun ini dengan setiap kawah mampu diagihkan kepada kira-kira 80 penerima.

Ibrahim (kanan) turut sama turun padang melihat bagaimana proses pembuatan bubur asyura menggunakan mesin khas yang disewa pada Program Gotong-royong Mengacau Bubur Asyura yang diadakan di Masjid Imanul Faizin, Kota Bharu.
Ibrahim (kanan) turut sama turun padang melihat bagaimana proses pembuatan bubur asyura menggunakan mesin khas yang disewa pada Program Gotong-royong Mengacau Bubur Asyura yang diadakan di Masjid Imanul Faizin, Kota Bharu.

Menurut beliau, setiap kawah menelan kos hampir RM1,000 dan dilengkapi 10 kilogram (kg) daging segar, menjadikan keseluruhan program menggunakan 300 kilogram daging.

"Selain penduduk kampung, program ini turut mendapat penyertaan daripada HPUSM (Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia), Majlis Daerah Ketereh dan Balai Polis Melor.

"Istimewanya tahun ini, buat pertama kali dua kawah menggunakan mesin pengacau yang disewa khas dari Pasir Mas, manakala selebihnya masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan tenaga orang ramai," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Gotong-royong Mengacau Bubur Asyura yang diadakan di Masjid Imanul Faizin di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin.

Artikel Berkaitan:

Tradisi memasak bubur asyura menjadi medan mengeratkan silaturahim dan menyatukan masyarakat pelbagai peringkat usia.
Tradisi memasak bubur asyura menjadi medan mengeratkan silaturahim dan menyatukan masyarakat pelbagai peringkat usia.

Keenakan bubur asyura Kelantan turut mendapat pengiktirafan daripada pekerja masjid berasal dari Bangladesh, Sarowar Bilal Husin, 36, yang mengakui hidangan itu merupakan bubur asyura paling sedap pernah dinikmatinya.

Sarowar yang sudah tiga tahun berkhidmat di masjid tersebut dan menetap di Malaysia selama 16 tahun berkata, bubur asyura di negaranya jauh berbeza kerana hanya menggunakan beras dan gula.

"Di Kelantan, bubur asyura dicampur dengan pelbagai bahan seperti santan, gula Melaka, kekacang dan rempah khas yang menjadikan rasanya sangat unik.

"Tempoh memasak sehingga lapan jam juga memberikan pengalaman berbeza kerana saya dapat melihat masyarakat berkumpul, bergilir-gilir mengacau dan bekerjasama sehingga hidangan siap," katanya.

Dari kiri: Mohamad Rozi, Sarowar, Rohaida dan Muhammad Rahimi
Dari kiri: Mohamad Rozi, Sarowar, Rohaida dan Muhammad Rahimi

Sementara itu, suri rumah, Rohaida Ibrahim, 47, berkata, antara keunikan program berkenaan ialah kewujudan kawah khas untuk wanita yang dikendalikan sepenuhnya oleh golongan tersebut.

Ibu kepada empat anak itu berkata, suasana mengacau bubur bersama rakan-rakan menjadi momen yang paling dinantikan setiap kali tibanya bulan Muharam.

"Tahun ini merupakan tahun ketiga saya menyertainya. Seronok kerana dapat berkumpul, bersembang dan pada masa sama menyumbang tenaga untuk masyarakat," katanya.

Bekas peserta Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd musim kedua, Muhammad Rahimi Mohd Ezani, 24, dari Machang pula berlata, program itu wajar diteruskan kerana mampu menarik penglibatan generasi muda.

Menurutnya, selain memperoleh pengalaman berharga, anak muda berpeluang mempelajari amalan tradisi masyarakat Melayu sekali gus memastikan warisan tersebut terus kekal relevan dan tidak ditelan zaman.

"Tradisi seperti ini bukan sekadar memasak bubur asyura, tetapi menjadi medan mengeratkan silaturahim dan menyatukan masyarakat pelbagai peringkat usia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!