Polis siasat dakwaan Rosmah biayai hartanah mewah di AS

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima tiga laporan dan membuka siasatan terhadap dakwaan Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam pembelian atau pembiayaan sebuah hartanah mewah bernilai AS$13 juta (61.1 juta) di New Jersey, Amerika Syarikat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya akan memanggil beberapa saksi dan menjalankan siasatan terhadap video tular yang mengandungi dakwaan berkenaan.
"Kita akan menyiasat sama ada akaun tular di media sosial itu palsu atau tidak. Setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan kerjasama yang baik dan kita belum menerima apa-apa perkembangan lagi," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Semalam, media melaporkan Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu.
Rosmah menegaskan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penggunaan syarikat sementara, struktur kewangan luar pesisir atau hubungan dengan individu serta entiti yang dinamakan dalam video yang tular adalah rekaan berniat jahat dan tidak berasas.. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
